ATLET KARATE NEGARA TERIMA IJAZAH
USM, PULAU PINANG, 31 Oktober 2017 – Walaupun tanggungjawab mengharumkan nama negara perlu digalas, namun kesibukan sebagai atlet tidak pernah menjadi penghalang, sebaliknya dijadikan pemangkin pembakar semangat atlet kebangsaan dalam sukan Karate-Do, Lim Chee Wei, 26, apabila berjaya menamatkan pengajian dalam Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Ke-55 hari ini.
Bagi Chee Wei, tugas sebagai atlet Karate negara berdepan dengan jadual latihan yang padat namun dia tetap kental dalam menempuh cabaran itu sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah.
Siswazah Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengajian Bahasa Inggeris), yang merupakan pemenang pingat emas dalam Sukan SEA 2017 berkata, ada ketika beliau menghadapi masa-masa sukar tetapi setiap halangan tersebut berjaya diatasi dengan pembahagian masa yang sistematik.
“Kita seharusnya menghargai masa dan sentiasa berusaha mencari ilmu pengetahuan walaupun pada masa yang sama, kita menggalas nama negara di peringkat dunia,” tambah anak kelahiran Pulau Pinang ini.
Konvokesyen Ke-55 USM ini melibatkan 6,850 orang graduan yang akan bergraduasi bermula 28 Oktober sehingga 2 November nanti.
Jelas Chee Wei lagi, tiada masalah untuk seorang atlet yang sentiasa sibuk menjalani latihan untuk menyambung pelajaran asalkan dia bijak mengurus masa dan sentiasa teruja mencuba perkara-perkara baharu.
“Kita perlu mengenal pasti kemampuan diri dan menetapkan masa depan kita berpandukan semangat serta azam yang tinggi supaya tidak mudah berputus asa dalam mencapai cita-cita,” katanya yang kini telah menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang Bahasa Inggeris di USM.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1003