SUAMI SEBAK TERIMA IJAZAH SARJANA MENDIANG ISTERI
USM, PULAU PINANG, 29 Oktober 2017 – Seorang suami tidak mampu menahan rasa sebak apabila menerima Ijazah Sarjana milik isterinya pada Upacara Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, di sini hari ini.
Lim Chin Heng, 46, berkata, dia menerima anugerah tersebut mewakili mendiang isterinya, Tan Soo Choo, 46, yang meninggal dunia pada 17 Oktober lalu akibat kanser kolon.
Katanya, isterinya mengambil Ijazah Sarjana Pendidikan (Psikologi Pendidikan) di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM.
Bapa kepada tiga orang anak itu mengakui, mendiang isterinya seorang yang kuat semangat walaupun disahkan menghidap penyakit berbahaya ini tiga tahun lalu.
"Dia terus kuat semangat untuk meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana walaupun sudah mengetahui tentang penyakit tersebut.
Malah, di saat-saat akhir sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, dia sangat bersemangat untuk hadir ke upacara konvokesyennya, tetapi hari ini, saya dan anak-anak terpaksa mewakilinya untuk menerima ijazah ini,” katanya.
Ijazah Sarjana disampaikan Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato' Dr. M. Jegathesan dan disaksikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam majlis khas selepas tamatnya sidang ketiga hari ini.
Chin Heng, yang juga Alumni USM tahun 1996, mahu meneruskan semangat yang ditonjolkan oleh mendiang isterinya kepada anak-anaknya supaya mengikut jejak kejayaan ibu mereka.
Tan Soo Choo adalah antara 6,850 orang graduan yang akan bergraduasi di USM bermula 28 Oktober sehingga 2 November nanti.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1214