GRADUAN DOKTOR FALSAFAH TERMUDA MAHU TEROKA BIDANG BIOFIZIK
USM, PULAU PINANG, 28 Oktober 2017 – “Saya ingin meneroka lagi bidang Fizik ini dan bercadang untuk mendalami kajian dalam bidang pengkhususan Biofizik,” kata pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) termuda sempena Upacara Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Naja Nadiera Omar, 23.
Katanya, dia bersyukur dengan kejayaannya itu namun tidak mahu berada di kedudukan sama sebaliknya berhasrat keluar daripada zon selesa.
“Bergelar graduan PhD pada usia muda tentunya menggembirakan dan anugerah itu satu bonus untuk saya melangkah lebih jauh dalam bidang ini.
“Namun, saya tidak mahu terlalu berpuas hati dengan pencapaian ini kerana sedar ia tidak akan ke mana jika tidak berani keluar daripada zon selesa.
“Kalau boleh, saya ingin merebut apa jua peluang yang ditawarkan khasnya berkaitan bidang yang dipelajari,” katanya.
Dia mendapat keputusan yang cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik sebelum ditawarkan USM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di bawah program ‘PhD Fast Track USM’ dalam bidang pengkhususan Biofizik.
Sepanjang tempoh pengajiannya, dia turut menyumbang penulisan dalam jurnal selain membentangkan hasil penyelidikannya dalam persidangan antarabangsa.
Naja Nadiera adalah antara 6,850 orang graduan yang akan bergraduasi di USM bermula 28 Oktober sehingga 2 November nanti.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1700