PENYERTAAN PBJ KE-27 MENINGKAT 50%
PULAU PINANG, 23 Oktober 2017 – Acara tahunan Universiti Sains Malaysia (USM), Pesta Bola Jaring USM-Penang International (PBJ) ke-27 pada tahun ini menunjukkan peningkatan 50 peratus penyertaan berbanding tahun lalu.
Menurut Naib Canselor USM yang juga Penasihat Kehormat PBJ, jumlah penyertaan PBJ ke-27 meningkat dari 100 pasukan kepada 150 pasukan dan lebih 25 pasukan antarabangsa dari Sri Lanka dan Brunei yang menyertai PBJ pada tahun ini.
“Tahniah kepada semua Jawatankuasa Pengelola PBJ ke-27 khususnya kepada Nor Shamirah Sulaiman, Pengarah Projek PBJ kerana telah bersungguh-sungguh menjayakan acara ini pada tahun ini,” tambah Naib Canselor yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang di majlis penutup PBJ.
PBJ yang berlangsung bermula 20-22 Oktober lalu mempertandingkan sebanyak enam kategori iaitu Bawah 12, Bawah 15, Bawah 18, Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Wanita, Terbuka Wanita dan Terbuka Lelaki.
Pasukan Amazing Kemuning telah menjuarai kategori Bawah 12, Remaja MBPJ Avengers bagi kategori Bawah 15, Remaja MBPJ Fighters bagi kategori Bawah 18 dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) bagi kategori IPT Wanita.
Bagi kategori Terbuka Wanita, juara telah disandang oleh Universiti Putra Malaysia Firewolf setelah menewaskan MBPJ dengan 15-11 jaringan manakala bagi kategori Terbuka Lelaki juara telah dinobatkan kepada pasukan Cobra Alpha setelah mengalahkan pasukan Coaster dengan 12-6 jaringan.
Juara masing-masing membawa pulang wang tunai, piala pusingan, piala iringan, medal, hamper barangan Nestle dan sijil penyertaan manakala Naib Juara membawa pulang wang tunai, medal dan sijil.
Pemain bola jaring Malaysia, An Najwa Azizan yang bermain untuk pasukan UPM Firewolf dinobatkan sebagai pemain terbaik Terbuka Wanita PBJ ke-27 manakala Tan Hong Ten dari pasukan Cobra Alpha dinobat pemain terbaik Terbuka Lelaki. Kedua-dua pemain masing-masing membawa pulang piala, hamper barangan Nestle dan bola tajaan Gilbert Netball.
Hadiah-hadiah turut disampaikan oleh suami Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria, wakil Nestle Products Sdn. Bhd. selaku penaja utama, Syed Amir Faisal Syed Ali dan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Muhamad Mohd Hanif.
Teks: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1642