USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

10 KANAK-KANAK DIBANTU BEDAH JANTUNG

WhatsApp Image 2017 10 12 at 1.09.28 PM

USM, KUBANG KERIAN, 12 Oktober 2017 - Bayi berusia tujuh hari antara 10 kanak-kanak yang telah berjaya menjalani pembedahan jantung kongenital oleh pakar bedah dari United Kingdom (UK) di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian, baru-baru ini.

Pada pembedahan kali ini, Tabung Kebajikan Ronald McDonald tampil menyumbangkan bantuan kewangan kepada pesakit berjumlah RM14,250 bagi membiayai kos pembedahan tersebut.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, orang ramai terutama syarikat swasta dan badan korporat diseru untuk turut menyumbang dana kepada Tabung 'Hole In The Heart' bagi membantu pesakit-pesakit jantung yang memerlukan.

Pada masa ini, Hospital USM bekerjasama dengan Yayasan 'Healing Little Hearts' United Kingdom (HLHs) menjalankan pembedahan ke atas pesakit dibantu oleh Pakar Kardiotorasik Pediatrik, Pakar Kardiologi Pediatrik, Jururawat serta Perfusionis yang bergerak secara sukarela dengan mendapat bantuan kewangan melalui sumbangan orang ramai," ujar Sukari lagi.

"Kutipan tabung ini akan digunakan untuk membantu golongan pesakit jantung yang tidak berkemampuan dalam membiayai kos sepanjang rawatan kerana sekiranya tidak dibantu akan melewatkan proses rawatan awal yang bakal mengundang kemudaratan kepada pesakit," katanya.

Yang turut hadir di majlis ringkas penyerahan cek sumbangan ini ialah Pengarah Urusan Tabung Kebajikan Ronald McDonald, Azmi Yusof; Pakar Pediatrik merangkap Ketua Projek 'Hole in The Heart & Healing Little Hearts, Dr. Mohd Rizal Mohd Zain; Penasihat Undang-Undang Universiti, Dr. Khairul Anuar Che Azmi; Pensyarah Perubatan, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam dan Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM, Dr. Nik Min Ahmad.

Sementara itu, bapa pesakit, Mohd Fairoz Razali, 34, berkata kerjasama itu membantu anak tunggalnya, Nur Qurratun Ain, 4, yang mengalami kebocoran injap jantung sejak lahir. Beliau bersyukur anaknya dipilih melakukan pembedahan segera kerana dia hanya bekerja sebagai penoreh getah.

"Bukan saja berpeluang menjalani pembedahan jantung lebih cepat, malah dibantu pula dengan kos ubat-ubatan yang mencecah ribuan ringgit. Saya sangat bersyukur, berterima kasih dan berharap lebih ramai yang menderma kepada tabung ini bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa," katanya.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Mohd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1199

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024