USM MENANG ANUGERAH PEMBENTANG KERTAS KERJA LISAN SAINTIFIK TERBAIK DI SKETMA 2017
PULAU PINANG, Oktober 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM), melalui Mohd Hadzri Abdullah, berjaya mendapat Anugerah Pembentang Kertas Kerja Lisan Saintifik Terbaik di Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal (SKETMA 2017) IPTA Malaysia kali ke-13 yang diadakan pada 20-23 Ogos yang lalu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
Mohd Hadzri yang bertugas sebagai Ketua Penolong Pegawai Sains, (Entomologi dan Pengurusan Makmal), Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK), USM berjaya mengatasi 17 orang peserta pembentang dari universiti awam, universiti swasta, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Agensi Nuklear Malaysia, dan beberapa agensi berkaitan yang lain. Sebanyak 20 kertas kerja lisan dibentangkan.
Kertas kerja yang dibentangkan oleh Mohd Hadzri bertajuk ‘Pengurusan Kerja Persampelan Saintifik Kuantitatif di Lapangan’ ditulisnya bersama pensyarah kanan PPSK, Dr. Hasber Salim.
“Saya tidak menyangka sama sekali akan dipilih sebagai pembentang kertas kerja saintifik terbaik, saya cuma melakukan yang terbaik sebagai wakil staf makmal dari USM. Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan, bimbingan dan galakan yang diberikan oleh Dekan PPSK, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah, pensyarah lain terutamanya Dr. Hasber dan rakan-rakan staf makmal yang lain,” katanya.
Seminar kali ini dianjurkan oleh UPSI dengan kerjasama Majlis Gabungan Persatuan Penolong Pegawai Sains Universiti Awam Malaysia, Persatuan Penolong Pegawai Sains UPSI dan Fakulti Sains dan Matematik UPSI.
SKETMA 2017 bertemakan ‘Teknologi Makmal Pemacu Kelestarian Kecemerlangan Inovasi’
mendapat penyertaan hampir 250 peserta terdiri daripada staf dalam Perkhidmatan Sains, iaitu Penolong Pegawai Sains, Pegawai Penyelidik, Pegawai Sains, Juruteknologi Makmal, Pembantu Makmal dan Juruteknik Makmal yang berkhidmat di Universiti Awam dan Swasta di seluruh Malaysia.
SKETMA ialah antara seminar kebangsaan yang besar dan penting untuk staf makmal yang diadakan dua tahun sekali bertujuan untuk membolehkan staf makmal berkongsi ilmu, pengetahuan, pengalaman dan kemahiran terkini dalam bidang teknologi makmal sebagai usaha memartabatkan bidang sains dan teknologi dalam pembangunan negara.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Sumbangan Mohd Hadzri Abdullah & Nurul Huda Zainol Abidin
- Created on .
- Hits: 1807