YDP MPPUSM RANGKUL 2 ANUGERAH TOKOH SISWA 2014
NIBONG TEBAL, 18 April 2015 - Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM), Mohamad Shafiq bin Kamaruddin merangkul dua anugerah Tokoh Siswa 2014 bagi kategori Anugerah Pemimpin Program Kepimpinan Terbaik (Terbuka) dan Anugerah Tokoh Pemimpin Siswa (Terbuka) dalam majlis yang berlangsung di Dewan Utama Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, di sini malam tadi.
Mohamad Shafiq, 24, menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai anugerah terindah khususnya buat ibu dan arwah ayahnya selain turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak universiti yang memberi peluang sehingga dia menerima anugerah tersebut.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,500 bagi kedua-dua kategori tersebut, termasuklah trofi dan sijil.
“Saya amat bersyukur kerana mendapat pengiktirafan sedemikian yang merupakan anugerah terindah dalam hidup, dan ditujukan khas buat emak dan arwah ayah saya serta semestinya kepada semua pasukan MPP saya yang bertungkus lumus bersama-sama menggalas amanah yang diberikan selama tiga tahun ini, sekaligus sebagai hadiah istimewa kepada mahasiswa USM yang menjadi tulang belakang dalam kejayaan ini,” kata Mohamad Shafiq.
Dia berharap agar pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa USM untuk terus mengorak langkah dalam menggalas aspirasi universiti dan Kementerian Pendidikan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berasal dari golongan yang terkebawah.
“Percayalah bahawa dengan cita-cita yang tinggi dan azam yang kental, kita juga mampu untuk berbakti kepada masyarakat, bangsa, agama dan tanahair,” kata pelajar Tahun 4, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan ini dengan nada yang gembira.
Dalam pada itu, Anugerah Tokoh Siswa turut menobatkan Yang Dipertua Sukarelawan Kampus Sejahtera 2014/2015 USM, Wee Soon Kit, 24, sebagai penerima bagi kategori Anugerah Sukarelawan Alam Sekitar Terbaik, Anugerah Tokoh Siswa 2014.
Wee menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai kejayaan kepada semua khususnya Kampus Sejahtera dan USM dalam bersama-sama memacu kecemerlangan universiti.
“Anugerah yang saya perolehi pada hari ini merupakan inspirasi supaya lebih berjaya pada masa hadapan, kita perlu yakin bahawa, setiap usaha mesti ada kejayaan yang akan diperoleh, paling penting terus berusaha demi mencapai wawasan dalam hidup,” katanya yang juga merupakan Exco Kebajikan dan Kesejahteraan Mahasiswa MPP 2012/2013 USM.
Dengan kemenangan tersebut, Wee membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, trofi dan juga sijil.
Anugerah Tokoh Siswa 2014 juga turut menobatkan pelajar tahun akhir jurusan Bioteknologi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ju Ariana Ibrahim, 24, sebagai penerima anugerah tertinggi pada malam itu iaitu, Anugerah Menteri Pendidikan 2014.
Ju Ariana menzahirkan rasa syukur di atas anugerah tersebut selain menyifatkan anugerah ini mampu menjadi pembakar semangatnya untuk terus berbakti kepada komuniti.
“Hadiah pada hari ini merupakan anugerah terindah dalam hidup saya dan menjadi sumber inspirasi untuk terus berbakti kepada komuniti,” ujar gadis manis yang merupakan anak kepada pasangan bekas pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan suri rumah ini kepada media.
Pelajar yang berasal dari Klang itu turut membawa pulang trofi, sijil, wang tunai RM3,000 serta sebuah motosikal Kris Modenas.
USM juga terus cemerlang dalam menghasilkan para pelajar yang holistik apabila turut merangkul anugerah bagi kategori Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang menobatkan saudara Soh Sin Siang sebagai penerimanya. Soh membawa pulang hadiah berupa trofi dan sijil.
Anugerah Tokoh Siswa mengiktiraf dan memberi galakan kepada mahasiswa yang telah banyak berusaha untuk menjadi modal insan yang holistik dan kompeten selari dengan kehendak ekonomi serta pembangunan masa kini.
Menurut Timbalan Naib Canselor (TNC) Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEP) USM, Profesor Dr. Adnan Hussein, turut menzahirkan rasa sukacitanya apabila majlis pada malam tersebut berjalan dengan lancar dan sokongan pelbagai pihak khususnya merupakan antara tulang belakang kepada kejayaan pelaksanaan program berkenaan malam ini.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung pada malam ini dan pihak kami tidak putus-putus menerima ucapan tahniah di atas kejayaan pelaksanaan program ini dari pelbagai aspek.
“Sejujurnya, tanpa sokongan padu dari semua pihak yang menjayakan program ini, tentunya ianya tidak dapat berjalan rapi seperti yang dirancang, dan sememangnya pihak HEP sentiasa menyokong penuh aktiviti-aktiviti para pelajar dalam memacu kelestarian universiti kita amnya.
Hadir menyampaikan anugerah-anugerah tersebut ialah Menteri Pendidikan II Dato’ Seri Idris Jusoh, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Profesor Dato’ Dr. Asma Haji Ismail, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.
Hadir sama ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Brigedier Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin b. Hussin dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Profesor Datuk Dr. Yahaya Ibrahim. - Teks: Nor Rafizah Haji Md Zain & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2374