PREMIUM KELULUT: INOVASI HOLISTIK PERKASA SOSIO EKONOMI DAN ALAM SEKITAR
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober 2017 – Mesin pengering madu kelulut, inovasi kreatif penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) adalah penyelesaian dalam mendapatkan kualiti madu premium yang bukan sekadar enak, malah dijamin tahap kebersihannya.
Ketua penyelidik, Dr. Mohd Zulkifli Mustafa berkata, madu kelulut kurang digemari kerana rasanya lebih masam berbanding madu biasa dan hal itu dilihat boleh menjejaskan kebolehpasaran madu itu yang berpotensi menjadi sumber pendapatan yang tinggi.
"Persekitaran tropika yang mempunyai kadar lembapan udara yang tinggi menyebabkan madu kelulut tinggi kandungan air, menapai, menjadi masam dan berbuih.
"Justeru menggunakan teknologi yang ada, kita menghasilkan teknologi penapis yang direka khas sebagai sistem dehidrasi madu yang meningkatkan kualiti dan nilai madu," ujar pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Perubatan itu.
Tambahnya, industri kelulut mempunyai impak yang cukup besar dalam memastikan kelestarian biodiversiti negara melalui peranan pendebungaan oleh lebah kelulut.
"Idea dalam penghasilan madu berkualiti ini berfokus kepada pelan strategik untuk mentransformasikan industri madu kelulut ke arah penjanaan pendapatan lestari.
"Masalah utama dalam bidang industri kelulut adalah dalam mendapatkan koloni yang terhad melalui pemburuan di hutan. Kita telah atasi masalah terlebih dahulu dengan memperkenalkan sarang tiruan yang membolehkan penggandaan koloni, penghasilan madu bersih, penyesuaian cuaca dan pemeriksaan kesihatan koloni," ujar beliau.
Tambahnya, inovasi 'quadruple helix' itu bukan sekadar menghasilkan madu premium berkualiti, malah memberi impak kepada pembangunan ekonomi komuniti dan pemeliharaan biodiversiti alam sekitar.
"Apabila madu kelulut mempunyai nilai komersial tinggi, penternak akan menjaga koloni dengan baik dan apabila koloni menjadi berganda-ganda, alam sekitar turut menjadi lebih lestari," katanya.
Inovasi Mesin Pengering Madu adalah salah satu daripada 21 produk penyelidikan dan inovasi USM yang dipertandingkan dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2017, di sini.
PECIPTA 2017 yang mula diperkenalkan pada 2001 disertai oleh lebih 400 produk inovasi dan rekacipta dari universiti awam dan swasta, industri dan agensi penyelidikan tanah air.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 2112