PROSES PEMILIHAN MPP SIDANG 2017/2018 BERJALAN LANCAR
PULAU PINANG, 6 Oktober 2017 - Proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sidang 2017/2018 telah berjalan dengan lancarnya apabila ketiga-tiga kampus USM telah mengumumkan keputusan pemilihan petang semalam.
Proses pemilihan yang berjalan serentak di ketiga-tiga kampus bermula awal pagi telah berjalan dengan sempurna tanpa ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein turut mengucapkan tahniah kepada calon yang menang dalam pemilihan kali ini dan berharap mereka dapat memikul amanah sebagai pemimpin pelajar dengan cemerlang.
Beliau sebelum itu mengumumkan keputusan pemilihan MPP sidang 2017/2018 bagi kampus Induk yang dijalankan secara serentak melalui telesidang bagi ketiga-tiga kampus USM.
Seramai 5,272 atau 47.89 peratus pelajar turun membuat pemilihan bagi ketiga-tiga kampus dengan menggunakan rangkaian elektronik e-Pilih.
Di kampus Induk, sebanyak 29 kerusi dipertandingkan melibatkan enam kerusi umum dan 23 kerusi Pusat Pengajian manakala 17 kerusi Pusat Pengajian telah diumumkan menang tanpa bertanding.
Sementara itu, calon Konstituensi Umum yang menerima pemilihan terbanyak pada kali ini, Ahmad Shafiq Mohd Nasir, 22, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pelajar yang memilihnya pada kali ini.
“Saya berharap matlamat saya dalam membawa pembaharuan demi memastikan mahasiswa mempunyai aras pemikiran selaras dengan hasrat Naib Canselor kita akan tercapai,” kata pelajar dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan ini.
Yang hadir sama semasa pengumuman ini Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed, serta pegawai-pegawai utama USM.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1473