STAF USM DIBERI PENDEDAHAN LATIHAN KEBAKARAN
USM, PULAU PINANG, 28 September 2017 – Staf Universiti Sains Malaysia hari ini diberi pendedahan mengenai keselamatan kebakaran yang dijalankan di bangunan Canselori oleh pasukan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti.
Pengarah Jabatan Keselamatan USM, Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy berkata, setiap orang dalam universiti perlu mengetahui tentang aspek keselamatan apabila berlaku kebakaran mahupun kecemasan supaya dapat mengelakkan dari berlaku tragedi yang tidak diingini.
“Tujuan diadakan latihan pada hari ini adalah untuk memberi pendedahan sekiranya berlaku kejadian yang sebenar dan setiap staf tidak boleh memandang mudah akan latihan kebakaran ini,” tambahnya.
Jelasnya lagi, USM khususnya untuk staf disarankan menjalankan latihan kebakaran di bangunan masing-masing sekurang-kurangnya setahun sekali manakala untuk para pelajar akan dijalankan dua tahun sekali.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Jalan Perak Pulau Pinang, Ismail Zain berkata, latihan yang diadakan pada hari ini perlu ditingkatkan lagi supaya setiap orang tahu akan peranan masing-masing ketika berlakunya kejadian kecemasan.
"Kami akan terus bekerjasama dengan USM dengan memeriksa aspek keselamatan di bangunan dan melakukan program kesedaran selain mengajar mereka bagaimana untuk menyelamatkan diri ketika kecemasan," katanya.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1322