USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LAKSANA KAEDAH PEMBANGUNAN MESRA ALAM EKOKEJURUTERAAN DI PESISIRAN PANTAI

USM, PULAU PINANG, 20 September 2017 – Satu sesi penerangan telah diadakan oleh Pusat Kajian Samudera Dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) berkaitan pelaksanaan konsep pembangunan mesra alam di Pulau Pinang baru-baru ini.

Tiga kaedah ekokejuruteraan diperkenalkan oleh USM yang disifatkan mampu mengawal risiko hakisan tanah, mendapan dan kepupusan ekosistem marin di kawasan pesisiran pantai.

Dalam satu sidang media khas di sini, ketua projek ‘Ekokejuruteraan: Mereka Bentuk Bersama Alam Semula Jadi’, Dr. Chee Su Yin dari CEMACS berkata, tiga kaedah terbabit ialah ‘World Harbour Project’ (WHP), ‘Drill-Cored Pool Project’ (DCP) dan ‘Flower Pot Project’ (FPP) dan telah menunjukkan hasil yang positif sejak dilaksanakan pada 2016.

Sementara itu, menurut Pengarah CEMACS, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai, konsep ekokejuruteraan berkenaan diharap dapat mengimbangi biodiversiti hidupan marin ekoran aktiviti pembangunan yang giat dijalankan di kawasan sekitar pesisir pantai di negeri ini.

“Sehubungan itu juga, satu bengkel akan diadakan yang berfokus kepada usaha pembangunan mesra alam di pesisiran pantai yang semakin meningkat terutamanya di Pulau Pinang.

“Projek pembangunan yang tidak lestari akan merosakkan alam sekitar serta mencetus hakisan tanah dan mendapan yang membahayakan hidupan laut, dan adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menghindarkan ia dari berlaku,” ujarnya.

“Objektif bengkel ini adalah untuk memperkenalkan konsep serta membuktikan bahawa teknologi ekokejuruteraan yang dijalankan oleh CEMACS di beberapa tempat di Pulau Pinang telah menunjukkan hasil yang ternyata berkesan.”

Tambah Aileen lagi, “Bengkel ini dibuka kepada orang ramai khususnya ahli majlis, perancang bandar, pemaju, persatuan nelayan, NGO dan agensi konservasi.”

Bengkel tersebut akan diadakan pada 26 September 2017, bermula dari 9.30 pagi hingga 4.30 petang di CEMACS, Teluk Bahang di sini.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi CEMACS di talian 04-8852750 atau melalui emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. dan This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Teks: Siti Najihah Mustafa (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 1127

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024