RINGAN BEBAN, PESAKIT LEGA DAPAT BANTUAN
KOTA BHARU, 19 April 2015 - Para pesakit buah pinggang kronik di sekitar negeri Kelantan menarik nafas lega apabila kepayahan memikul beban kewangan bagi menjalani rawatan buah pinggang makin mendapat perhatian.
Ia berikutan langkah kerjasama pintar di antara Universiti Sains Malaysia (USM), Rakyat Holding Sdn. Bhd dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) mengagih bantuan kewangan kepada pesakit bagi mengurangkan perbelanjaan sampingan mereka dalam mendapatkan rawatan.
Salah seorang pesakit yang telah 13 tahun menghidap penyakit yang turut dikenali sebagai pembunuh senyap itu, Nurul Fadilah Poizi, 22, berkata, beliau terharu dengan bantuan kewangan berjumlah RM500 yang diterimanya.
Katanya, wang itu dapat membantu ibu dan ayahnya mengurangkan beban kewangan termasuk untuk kos untuk membawanya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) setiap minggu.“Walaupun ada kenderaan, tapi adakalanya terpaksa menyewa kereta jika bapa saya ada kerja yang perlu dibuat bagi menyara keluarga. Kos menyewa kereta paling kurang mencecah RM100 untuk satu perjalanan pergi balik.
“Itu belum masuk perbelanjaan lain seperti ubat-ubatan, kelengkapan harian dan sebagainya. Justeru bantuan seumpama ini memang sangat diperlukan dan melegakan sedikit beban yang ada,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena majlis penyampaian sumbangan dana berjumlah RM100,000 oleh Rakyat Holding Sdn. Bhd. Kepada Tabung Kaseh Buah Pinggang Kronik OKB-HUSM di sini hari ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hadir menerima sumbangan tersebut yang disampaikan oleh Pengerusi Bank Rakyat dan Rakyat Holding, Dato’ Mat Nor Nawi.
Turut hadir ialah Wakil Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Ahmad Tajudin Jab; Presiden Persatuan OKB, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad dan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed.
Seorang lagi pesakit buah pinggang kronik, Hasnoh Yaacob, 51, pula berkata, sumbangan tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk beliau menjalani rawatan dan berulang-alik ke HUSM.“Saya tiada kenderaan dan berulang-alik ke hospital dengan bas dan kereta sewa. Perbelanjaan memang agak tinggi dan bantuan ini sangat melegakan dan meringankan bebanan,” katanya.
Turut berpandangan sama, Khairul Azhar Mat Taufik, 34, menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada semua yang membantu, apatah lagi beliau sememangnya berdepan masalah kewangan dan hanya menyara hidup dengan bekerja sendiri. - Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1377