PELAJAR USM BERBAKTI UNTUK PROGRAM KESUKARELAWANAN YSS DI LAOS PDR
PULAU PINANG, 16 September 2017 - 4 Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi berbakti pada masyarakat dunia apabila kali ini terlibat dalam misi kesukarelawanan pelajar MoES Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di daerah Sangthong, Vientiane, Laos PDR.
Pelajar USM berkenaan tediri daripada Muhd Nadzmi Bin Abd Rahim di Ban Thanasa; Hajeriah Bosman dan Muhd Zulafkar Bin Zailani di Ban Pakton; dan Nur Atikah Binti Fauzi di Ban Sampana yang akan berada di program yang dijadualkan pada 15 - 27 September 2017.
Jumlah keseluruhan sukarelawan adalah seramai 50 orang dari IPTA, IPTS, Kolej Komuniti dan IPG yang berbakti berobjektifkan untuk melahirkan seorang pemimpin sukarelawan yang bertaraf global.
Terdahulu majlis pembukaan program dirasmikan oleh Duta Malaysia di Laos PDR, HE Mohd Aini Atan dan Naib Presiden NUoL, HE Madame Somchanh Bounphanmy. Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa, Dato' Zuraidah Atan.
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dilancarkan pada tahun 2012 sebagai entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan mendokong visi untuk membangunkan Malaysia sebagai hub sukarelawan pelajar dan menghasilkan ikon sukarelawan pelajar global.
YSS bertekad untuk melaksanakan misinya untuk menggalakkan, mendidik dan membimbing pelajar institusi pendidikan tinggi untuk mempromosikan keamanan dunia dan memupuk semangat melalui jaringan komuniti di dalam dan di luar negara.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1250