USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM MOTIVASI SUNTIK SEMANGAT PELAJAR TERKESAN BANJIR

TANAH MERAH, KELANTAN, 18 April 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan mengadakan program "Lestari Siswa" untuk pelajar sekolah yang menjadi mangsa banjir hujung tahun lalu.

Ketua Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USM Kampus Kesihatan, Hafiz Assad Zakaria berkata, program ini adalah usaha pelajar Kampus Kesihatan untuk membantu pelajar yang menjadi mangsa banjir bagi meningkatkan semangat dan motivasi untuk berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Menurutnya, pelaksanaan program tersebut adalah sebagai tanda keprihatinan USM terhadap mang­sa banjir di Pantai Timur yang masih terkesan dengan bencana alam itu.

“Pihak kami memberi fokus untuk membantu pelajar SPM dengan memberikan mereka kaunseling dan motivasi dengan dibantu oleh para pelajar Kampus Kesihatan untuk membantu menghadapi peperiksaan besar itu nanti agar bencana banjir yang berlaku tersebut tidak menjejaskan pelajaran mereka,” katanya dalam majlis perasmian Program "Lestari Siswa" di SMK Ladang Kerilla Tanah Merah.

Tambahnya lagi, pada peringkat awal ini SMK Ladang Kerilla, Tanah Merah dipilih kerana kawasan ini lumpuh seratus peratus fizikalnya setelah banjir besar melanda yang tentunya amat mengganggu emosi mereka dan akan diperluaskan lagi di sekolah lain yang terlibat dengan banjir pada masa hadapan” katanya.

Program ini merupakan bantuan fasa ketiga USM dalam misi pascabanjir di Kelantan selepas melakukan kerja membersihkan kawasan yang terjejas banjir di Kelantan melibatkan pelajar USM Kampus Kesihatan secara sukarela. - Teks: Mohamad Iqmal Mathlan

  • Created on .
  • Hits: 1063

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024