MALAM VARIASISWA 2017 CUNGKIL BAKAT PELAJAR BAHARU USM
PULAU PINANG, 15 September 2017 - Malam Variasiswa 2017 antara pembuka tirai aktiviti pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) mempertontonkan persembahan kebudayaan yang begitu menarik dari setiap Desasiswa ketiga-tiga kampus hari ini.
Bertemakan 'Kemerdekaan' membawa semangat cintakan negara dan penyatuan antara kaum, persembahan setiap Desasiswa nyata memukau hampir 2,000 orang penonton yang membanjiri Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM.
Dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein menambahkan lagi kemeriahan di dalam Dewan.
Variasiswa yang diadakan saban tahun merupakan platform terbaik untuk pelajar mengetengahkan bakat mereka termasuk menyumbang bakti kepada universiti di masa akan datang.
Program anjuran Unit Kebudayaan dan Kesukarelawan BHEPA USM ini juga mampu mencungkil bakat para pelajar tahun pertama di dalam seni persembahan dan sebagai satu pendekatan dalam menyemai nilai-nilai murni yang sepatutnya wujud di dalam diri seorang pelajar USM.
Majlis turut diserikan dengan sketsa patriotik oleh Dewan Budaya termasuk penampilan istimewa tujuh orang pelajar kelainan upaya (OKU) yang berjaya memasuki USM pada sidang akademik tahun ini.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1487