USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HARGAI WARGA PENDIDIK

PULAU PINANG, 13 September 2017 – Dengan tema “Guru Pembina Negara Bangsa,” Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) telah mengadakan sambutan Hari Guru kali ke-46 baru-baru ini di Dewan Budaya, USM.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah yang mewakili Naib Canselor USM.

“Sambutan Hari Guru adalah program yang memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada guru atas segala jasa, pengorbanan dan perjuangan para guru menyampaikan ilmu kepada anak-anak kita,” ujar Ahmad Farhan.

Tambah beliau, guru-guru dan tenaga pengajar masa kini perlu menyahut cabaran dan membuat persediaan terutamanya dalam mendepani Revolusi Industri Keempat (4IR), yang mana kemajuan dalam bidang robotik dan ‘big data’ seharusnya dimanfaatkan dan diselaraskan dengan kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan suasana kepelbagaian.

Selain itu, beliau menyentuh tentang perlunya bagi para guru dan pensyarah membentuk siswa-siswi di USM supaya mempunyai sifat-sifat H.E.B.A.T. iaitu Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, dan Thinking. 

“Saya berharap agar para guru dan pensyarah dapat membimbing para pelajar supaya mereka mempunyai sifat-sifat atau atribut yang mengupayakan mereka untuk membantu masyarakat dalam menghadapi pelbagai situasi di masa hadapan,” tambahnya.

Menurutnya lagi, kesemua atribut tersebut boleh dipupuk agar seiringan dengan agenda universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), selain memastikan kesesuaian dari segi nilai-nilai dan budaya tempatan dalam membentuk daya berfikir secara kritis dan seimbang.

Ahmad Farhan juga mengingatkan bahawa usaha dan peranan guru dan pensyarah yang dilaksanakan dengan penuh dedikasi akan mendapat ganjaran dari Allah.

Dekan PPIP USM, Profesor Dr. Hairul Nizam Ismail yang juga hadir di program itu menyatakan harapannya agar para guru dan pensyarah dapat menjalankan peranan mereka dengan penuh jati diri, kreativiti, inovasi, disertai kemampuan berfikir aras tinggi dan mengaplikasikan teknologi di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Program tersebut yang dianjurkan oleh PPIP telah dihadiri oleh hampir 400 orang, termasuk pengetua-pengetua sekolah menengah sekitar Pulau Pinang.

Teks: Siti Najihah Mustafa/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 1037

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024