USM TERUS MENEROKAI KOLABORASI ANTARABANGSA
KUNMING, CHINA, 12 September 2017 – Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Profesor Dr. Narimah Samat bersama dengan penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi, PPIK, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong baru-baru ini mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pengajian Asia Tenggara (PPAT), Yunnan Minzu University (YMU), China untuk menerokai kolaborasi antarabangsa khususnya dalam Pengajian Melayu/Bahasa Melayu dan Terjemahan.
"Pusat Pengajian Asia Tenggara, YMU yang menawarkan 8 program pengajian bahasa Asia Tenggara sangat mengalu-alukan kerjasama daripada USM, satu-satunya universiti APEX di Malaysia," kata Dekan PPAT, YMU, Profesor Dr. Lu Sheng, semasa menerima kunjungan delegasi dari USM.
Tambah beliau, USM adalah antara universiti terbaik di Malaysia. Oleh itu, pihak China yakin dengan kualiti program pemindahan kredit Pengajian Melayu/Bahasa Melayu yang ditawarkan oleh USM.
Sementara itu, Narimah semasa memperkenalkan program kolaborasi berkenaan, menjelaskan, "terdapat dua pakej program pemindahan kredit Pengajian Melayu/Bahasa Melayu PPIK iaitu pakej A menawarkan 17 unit untuk satu semester manakala pakej B menawarkan 35 unit untuk dua semester.”
“Tambahan lagi, kursus-kursus yang ditawarkan bersifat praktikal dan amat sesuai untuk pelajar Bahasa Melayu YMU,” katanya.
PPAT, YMU amat berminat dengan program pemindahan kredit yang ditawarkan oleh USM.
Profesor Dr. Lu juga menunjukkan respon yang positif dengan cadangan kerjasama USM dalam program pengajian pascasiswazah PPIK.
Selain itu, Jabatan Bahasa Melayu, YMU turut bersetuju menjadi penganjur bersama Seminar Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China (STBBMC) II pada bulan April 2019. Seminar ini akan berlangsung di kampus YMU.
Susulan daripada lawatan itu, satu memorandum perjanjian (MoA) akan dimeterai antara kedua-dua universiti tersebut.
Yang turut hadir ialah Ketua Jabatan Bahasa Melayu, PPAT YMU, Puan Liu Jiarong.
Teks asal & foto: Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1494