PELAJAR USM BERKAYAK SAMBIL BERBAKTI DI SUSUR SUNGAI KELANTAN
Tanah Merah, Kelantan 18 April 2015 - Seramai 50 orang pelajar USM Kampus Kesihatan menyertai aktiviti berkayak di sungai Kelantan melalui program "Lestari Siswa" anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Kampus Kesihatan bersama-sama Unit Ko-Korikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.
Ketua Penolong Pendaftar Hafiz Assad Zakaria berkata, program ini dilaksanakan bertujuan menguji ketahanan mental dan fizikal para peserta, di samping meninjau perkampungan yang dilanda banjir besar hujung tahun lalu di sepanjang susur Sungai Kelantan.
Menurutnya lagi, sebanyak 50 kayak singgah di tiga buah kampung sepanjang sungai tersebut, melibatkan Kampung Sokor, Kerilla dan Kampung Kusial Baru.
‘‘Ketika singgah di kampung-kampung tersebut, para peserta berpeluang berinteraksi dengan masyarakat setempat, di samping memberi sokongan moral kepada penduduk yang terkesan banjir," kata Hafiz Assad.
Sementara itu, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Pusat Sukan USM Kampus Kesihatan Mohamad Faisal Abu Bakar memberitahu, sebelum turun berkayak pelajar diajar teknik berkayak yang betul serta diberi pendedahan secara amali sebelum dibenarkan untuk berkayak demi memastikan keselamatan mereka.
Tambahnya lagi, Unit Sukan USM Kampus Kesihatan sering menganjurkan pelbagai aktiviti sukan untuk membentuk jati diri pelajar melalui semangat kesukanan dan disiplin diri dalam membentuk sahsiah yang unggul. - Teks: Mohamad Iqmal Matlan
- Created on .
- Hits: 1290