USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

STEM PERSIAPKAN PELAJAR MENJADI PEKERJA BERKEMAHIRAN TINGGI

IMG 0236 800x600

USM, PULAU PINANG, Ogos 2017 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pelbagai strategi untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada guru, ibu bapa, pelajar dan semua pihak yang berkepentingan tentang betapa pentingnya pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam memacu agenda transformasi pendidikan negara abad ke-21.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Dato’ P. Kamalanathan berkata pendidikan STEM adalah penting untuk kita mempersiapkan pelajar menjadi pekerja berkemahiran tinggi sebagaimana yang diperlukan industri.

IMG 0275 800x600

Kerajaan memang memberi perhatian serius terhadap pendidikan STEM, bukan sahaja kerana ia menjadi tumpuan negara dan antarabangsa tetapi kerana kita menyedari perkaitan antara pendidikan STEM dengan kemampuan negara membekalkan tenaga kerja dalam bidang itu yang mencukupi bagi memacu ekonomi negara,” tambahnya dalam ucapan perasmian sempena Kolokium Pendidikan STEM Zon Utara di sini pada 12 Ogos yang lalu.

Jelasnya lagi, KPM kini berada pada landasan yang betul dalam melaksanakan inisiatif pendidikan STEM Gelombang 2, iaitu untuk mewujudkan kerjasama pelbagai pihak terutamanya dengan industri atau melaksanakan program strategi lautan biru kebangsaan (NBOS) dalam memperkukuhkan pendidikan STEM.

Kolokium anjuran KPM dengan kerjasama USM tersebut merupakan yang ketiga daripada empat siri kolokium pendidikan STEM 2017 yang dilaksanakan mengikut zon di seluruh negara pada tahun ini.

IMG 0335 800x600

IMG 0420 800x600

Seramai lebih 2,400 peserta daripada 350 buah sekolah di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menyertai kolokium berkenaan yang bermatlamat untuk memartabatkan pendidikan STEM di wilayah utara Semenanjung.

Kolokium sehari bersama guru, ibu bapa, ahli akademik dan wakil industri itu memberi pendedahan secara teori serta praktikal termasuk peluang pekerjaan dan pameran produk oleh pihak industri berhubung pendidikan STEM.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025) telah meletakkan pendidikan STEM sebagai satu agenda penting dalam transformasi pendidikan bagi menyediakan generasi muda untuk menghadapi cabaran abad ke-21.

IMG 0450 800x600

“Dunia akan berdepan dengan Revolusi Industri Keempat (Fourth Industrial Revolution, 4IR) dan ini memerlukan Malaysia menyediakan bakat berpengetahuan tinggi bagi menghadapi cabaran teknologi baharu yang kompleks.

“Penguasaan STEM dilihat sebagai mekanisme terbaik dalam membentuk masa depan negara dan generasi pemimpin yang berilmu, unggul dan berkarisma, di samping dapat mendepani cabaran 4IR ini,” kata Asma.

IMG 0364 800x600

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM, Dr. Habibah Abdul Rahim dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Shaari Osman.

Teks: Tan Ewe Hoe & Syuhada Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1504

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024