USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERSIDANGAN ICERT 2017 KUKUH AGENDA KELESTARIAN UNIVERSITI

DSC 4076 800x600

PULAU PINANG, 23 Ogos 2017 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) terus memperkukuhkan peranan dan memacu agenda kelestarian dengan menganjurkan International Conference on Environmental Research and Technology (ICERT 2017) untuk kali kelimanya.

Pengarah Nexus Sains Hayat USM merangkap wakil Naib Canselor, Profesor Dr. Mohd Nazalan Mohd Najimudin berkata, persidangan ini berfungsi sebagai platform dalam pertukaran  idea dan intelektual untuk melonjakkan kerjasama penyelidikan dan rangkaian dalam kalangan pakar-pakar dalam pelbagai aspek sains alam sekitar dan penyelidikan teknologi.

DSC 4079 800x600

“Selaras dengan keperluan untuk terus mensinergikan kecemerlangan dan strategi baru dalam bidang penyelidikan kelestarian masa hadapan, persidangan ICERT 2017 ini membolehkan perkongsian idea para peserta pelbagai negara dunia, khususnya dalam menetapkan strategi terbaru untuk mengukuhkan penyelidikan-penyelidikan yang berkaitan aspek kelestarian," tambah Nazalan lagi dalam ucapan perasmiannya di sini hari ini.

ICERT 2017 bertemakan 'Mensinergikan Sains Persekitaran, Penyelidikan dan Teknologi untuk Kelestarian Masa Hadapan’ bertujuan untuk menonjolkan idea yang mana kesemua komponen pengetahuan tentang Sains dan Teknologi, serta bidang kemanusiaan dan kesenian perlu disatukan dalam menghadapi Revolusi Industri Keempat di samping membincangkan isu-isu semasa berkaitan pengurusan alam sekitar dan pembangunan.

Persidangan kali ini menghimpunkan 98 orang pembentang dari pelbagai negara antaranya Indonesia, Filipina, Thailand, Korea dan Australia yang akan membincangkan isu-isu yang berkaitan kelestarian alam sekitar dan penyelidikan teknologi industri.

DSC 4073 800x600

Sementara itu, Pengerusi ICERT 2017, Profesor Dr. Norhashimah Morad  berharap persidangan kali ini akan memberi lebih banyak peluang dalam bidang penyelidikan kelestarian dan dapat menjalinkan kerjasama dengan negara luar dalam pelbagai bidang.

“Saya yakin dengan pembentangan hasil kajian terkini mengenai pelbagai topik yang berkaitan kelestarian dari peserta, persidangan ini akan mencapai objektifnya dalam menonjolkan pengetahuan dan teknologi baru yang berkaitan dengan pengurusan alam sekitar dan pembangunan, serta dapat meningkatkan kerjasama dan rangkaian dalam kalangan pakar-pakar dalam pelbagai bidang kelestarian alam sekitar,” katanya.

DSC 4088 800x600

“Persidangan ini juga mampu memberi impak dan peluang kepada para penyelidik khususnya dalam bidang  teknologi industri bertemu dengan ahli akademik yang berpengalaman dalam bidang kelestarian bagi mewujudkan kerjasama dan pemindahan ilmu antara mereka di masa akan datang,” tegasnya lagi.

DSC 4092 800x600

DSC 4102 800x600

Ucaptama ICERT 2017 telah disampaikan oleh pensyarah daripada Universität Hohenheim, Germany, Profesor Dr. Joachim Muller dan pensyarah daripada Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Hamidi Abdul Aziz masing-masing membentangkan ucaptama yang bertajuk ‘Water, Food and Energy Security in an Earth System Under Stress’ dan ‘Recent Development in Landfill Leachate Treatment’. 

Yang hadir sama dalam majlis ini Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri, Profesor Dr. Azhar Mat Easa.

Teks: Syuhada Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1614

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024