BEKERJA JUGA SEPERTI BERMAIN RAGBI – ABDULLAH
PULAU PINANG, 23 Ogos 2017 – Ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU) Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Abdullah Wahab hari ini mengadakan sesi perkongsian lebih 25 tahun pengalamannya dalam sektor awam dengan warga pentadbir dan juga akademik di USM.
“Bekerja ini adalah seperti bermain ragbi dan kita perlu mengadaptasikan pasukan rakan sekerja seperti sebuah pasukan ragbi yang perlu mempunyai beberapa kriteria,” kata Abdullah yang juga pemain ragbi ketika belajar di USM dahulu.
“Jika di dalam permainan ragbi kita perlu bermain secara berpasukan, begitu juga dalam bidang pekerjaan yang memerlukan kita bekerja sebagai satu pasukan yang saling bekerjasama, hormat, percaya serta bersama-sama dalam apa keadaan sekalipun,” tambah Abdullah yang ditemani isteri, Datin Rafidah Abdul Jalil yang juga alumni USM.
Abdullah, 67, anak kelahiran Kangar, Perlis pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha dan Setiausaha di Parlimen Malaysia bermula pada tahun 1980.
Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan di USM pada tahun 1976, Abdullah juga pernah berkhidmat di USM sebagai Pegawai Tadbir di Pusat Pengajian Sains Farmasi di bawah kepimpinan N.A. Ogle (kemudianya Dato’), sebagai Pendaftar pada ketika itu.
Semasa menjadi ahli LGU (dulunya dikenali sebagai Lembaga Pengarah Universiti (LPU)) sejak 2008, Abdullah telah mengetuai beberapa jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Audit Universiti.
Pada majlis yang sama, Pendaftar USM Profesor Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin berkata, program sebegini adalah sangat penting terutama pada ketika ini yang mana USM sedang menjalankan pengkayaan bakat dengan beberapa inisiatif lain termasuk penempatan silang dan keupayaan staf dalam pelbagai bidang atau multitasking.
Program ini adalah anjuran Pusat Transformasi Insan (PTI) dan turut hadir ialah dekan-dekan serta Timbalan Pendaftar Kanan PTI, Mohamad Abdullah.
Teks: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1425