BANGUNAN TORAY-USM TERIMA ANUGERAH SIJIL PRESTASI TENAGA (SPT)
USM, PULAU PINANG, 22 Ogos 2017 - Bangunan TORAY-USM telah menerima penganugerahan Sijil Prestasi Tenaga (SPT) baru-baru ini dalam majlis Malam Anugerah Hijau Negeri Melaka 2017 yang berlangsung di Hotel Equatorial Melaka.
Anugerah telah disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron kepada USM bersama 8 lagi pemilik bangunan bukan kediaman yang terlibat.
Bangunan TORAY-USM telah menerima sijil ini kerana mencapai penggunaan tenaga sebanyak 61 kWh/m2/y dan perakuan ini sah sehingga 11 Ogos 2020.
Bangunan Toray-USM Knowledge Transfer Centre menempatkan pejabat utama yang berkaitan dengan program pemindahan ilmu yang diterajui oleh USM termasuk beberapa jaringan antarabangsa, pejabat perhubungan universiti luar negara terutamanya dari Jepun serta program pemindahan ilmu di bawah KPT sebagai sebahagian program agenda kritikal.
Bangunan ini menjadi bukti keutuhan dan kejayaan hubungan universiti-industri dalam mengangkat hasil kerja keilmuan seperti usaha penyelidikan dan inovasi serta hubungan dari pelbagai jaringan yang dibangunkan untuk meletakkan nama universiti dan negara ini di peringkat global.
Hadir menerima sijil tersebut ialah Pengarah Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) USM, Profesor Madya Dr. Mohd. Wira Mohd. Shafiei dan Pengurus Tugas, Profesor Dr. Haslan Abu Hassan.
Sesi penganugerahan Sijil Prestasi Tenaga (SPT) adalah hasil kerjasama bersama Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM).
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1430