KECEMERLANGAN ATLET SUKUM DIRAI; USM HASRAT WUJUDKAN HALL OF FAME
PULAU PINANG, 17 Ogos 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat mewujudkan Hall of Fame bagi menghargai kecemerlangan bakat sukan yang disifatkan turut membantu dalam menaikkan nama Universiti.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, Hall of Fame itu bakal menjadi mercu tanda kepada kecemerlangan para atlet yang dapat dijadikan role model kepada kakitangan lain.
“Dalam apa jua bidang, kita perlu sentiasa mencapai kecemerlangan ‘By Design’ selari dengan halatuju USM yang ingin cemerlang dengan gaya tersendiri.
“Dalam sasaran APEX 2020 (pembangunan bakat), USM diharap terus melahirkan lebih ramai atlet berkualiti yang boleh membawa kejayaan baik di persada kebangsaan mahu pun antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika meraikan kontinjen USM dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) KE-42 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris, baru-baru ini.
Tambah Asma, beliau turut berharap USM terus mempersembahkan prestasi lebih mantap pada cabaran SUKUM akan datang melalui siri latihan konsisten dan bersistematik.
Dalam pada itu, USM yang muncul naib juara keseluruhan SUKUM ke-42 dengan pungutan 15 pingat emas, 16 perak dan 15 gangsa.
Melalui pungutan pingat tersebut, pasukan olahraga muncul pasukan terbaik dengan memungut pungutan pingat tertinggi dengan tujuh emas, tujuh perak dan sembilan gangsa.
Turut hadir ke majlis itu ialah Ketua Kontinjen, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria, Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, TNC Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed, pegawai-pegawai utama Universiti dan sebagainya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1088