6,600 PELAJAR RPJJ HADIR KURSUS INTENSIF MULAI 21 JANUARI
PULAU PINANG, 19 JANUARI 2015 – Sejumlah 6,600 orang pelajar Rancangan Pendidikan Jarak Jauh 2014/2015 akan berada di kampus induk USM Pulau Pinang bermula 21 Januari ini mengikuti Kursus Intensif berakhir pada 10 Februari 2015.
Menurut Timbalan Pendaftar, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM Hj. Abd. Hadi Ahmad,kursus selama tiga minggu itu akan mengumpulkan semua pelajar yang mengikuti beberapa kursus secara intensif iaitu kursus Sarjana Muda Sastera (Kepujian), Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian), Sarjana Muda Sains (Kepujian) dan Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian).
“Kesemua penginapan Desasiswa telah awal diuruskan oleh pihak universiti untuk menampung jumlah pelajar tersebut terutamanya menjamin keselesaan mereka sepanjang mengikuti kursus Intensif”
Menurut Abd. Hadi, Desasiswa yang terlibat adalah Cahaya Gemilang, Indah Kembara, Bakti Permai, Aman Damai, Fajar Harapan, Saujana, Tekun dan Restu.
Selain itu, Hadi menambah seramai 83 orang staf akademik dan 53 orang staf pentadbiran, teknikal dan sokongan dipertanggungjawab untuk menyelaras dan mengurus mengikut bidang masing-masing bagi memastikan kursus Intensif tahun ini berjalan dengan baik. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1992