PTPM USM JALIN KERJASAMA STRATEGIK DENGAN UNIVERSITY MURDOCH, AUSTRALIA
Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), Universiti Sains Malaysia (USM) menjalin kerjasama strategik dengan School of Education, Murdoch University (MU), Perth, Australia bagi berkongsi kepakaran akademik dan bidang teknikal terutama Audio Visual (AV). Kerjasama ini dimeterai melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) pada 3 Ogos lalu di MU,Perth.
“Melalui MoU ini, kedua-dua institusi akan bekerjasama dalam beberapa perkara utama termasuk bidang akademik, pertukaran pelajar, penerbitan dan penyelidikan khususnya dalam bidang teknologi pengajaran serta kerjasama teknikal AV,” kata Pengarah PTPM, Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.
“Delegasi PTPM juga diberikan pendedahan mengenai teknologi terkini bagi pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi avatar dan robotic yang boleh dimanfaatkan oleh staf akademik di peringkat universiti terutamanya yang mengajar pelajar-pelajar pendidikan dalam aspek pengajaran mikro,” tambah Wan Ahmad Jaafar.
Sempena dengan pemeteraian MoU ini, satu program pembangunan staf juga telah diadakan dengan perkongsian ilmu dan kemahiran mengenai teknologi pengajaran daripada staf The Centre for University Teaching and Learning, lawatan ke dewan-dewan kuliah dan tutorial untuk melihat teknologi dan peralatan terkini AV, teknologi perpustakaan dan juga kediaman siswa khususnya untuk pelajar-pelajar antarabangsa.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Antarabangsa) MU, Profesor Lyn Karstadt, Dr. Susan Ledger, Mr. Fozzil Jaffar, Suzanne Smith (Pengarah Antarabangsa) dari MU dan staf akademik dan teknikal/pentadbiran PTPM.
Teks dan foto: Sumbangan Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya /Suntingan: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 2112