USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CARI KESEIMBANGAN UNTUK CEMERLANG – NAIB CANSELOR

IMG 3500 800x600

PULAU PINANG, 9 Ogos 2017 – Para pelajar Rancangan Pendidikan Jarak Jauh (RPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) dinasihatkan untuk berusaha mencari keseimbangan antara tugasan kerja dengan tuntutan pembelajaran di universiti bagi menzahirkan kecemerlangan sehingga bergelar graduan.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, kejayaan menggenggam segulung ijazah akan menuntut banyak pengorbanan, disiplin yang tinggi serta keazaman yang kuat.

IMG 3394 800x600

IMG 3400 800x600

“Kita tahu dalam kalangan pelajar hari ini ada yang bergelar ibu, bapa, pekerja dan sebagainya yang terikat dengan pelbagai tanggungjawab namun jangan sesekali memberi ruang kepada cabaran itu mematahkan semangat untuk meneruskan pengajian.

“Gunakanlah masa dan peluang belajar di universiti ini dengan sebaiknya dalam mengecapi pulangan ilmu dan kemahiran yang bernilai,” katanya ketika berucap di hadapan pelajar baharu RPJJ USM yang sedang mengikuti Program Siswa Lestari 2017/2018 di sini baru-baru ini.

Kumpulan pelajar ini juga ujar beliau adalah antara yang terpilih dan berani menggalas cabaran untuk berada di USM yang tersenarai dalam kelompok 1 peratus universiti terbaik dunia dan ke-8 terbaik di Asia.

IMG 3456

IMG 3453 800x600

Dalam perkembangan lain, golongan warga emas adalah antara kumpulan pelajar yang turut hadir bagi menyahut cabaran pembelajaran sepanjang hayat.

Salah seorang darinya ialah Anthony Santhana George, 63, yang tanpa jemu berusaha menuntut ilmu walau pernah gagal empat kali dalam Malaysia Certificate of Education (MCE) dan tujuh kali menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu bagi membolehkannya mendapat kredit dalam subjek itu.

“Saya memang amat terdorong untuk menuntut ilmu dan sentiasa mencari peluang untuk memperbaiki diri. Saya telah melakukan pelbagai perkara dalam hidup namun yang pasti hanya dengan ilmu dapat mengubah nasib seseorang,” katanya.

Anthony yang mula bekerja di usia 16 tahun ekoran kekangan hidup setelah kematian bapa turut mempunyai tiga anak lelaki yang kesemuanya berkelulusan bidang kejuruteraan yang menjadi penguat semangatnya untuk menggenggam ijazah.

IMG 3457 800x600

Azman Mohd Radzi, 58, pula memberitahu cita-cita dan minat beliau dalam penterjemahan telah mendorong beliau untuk menyambung pengajian dalam bidang Sastera di USM.

“Selepas tamat Diploma Profesional Penterjemahan dari Dewan Bahasa dan Pustaka, saya terus mencari universiti untuk sambung pengajian dan Alhamdulillah, lepas setahun saya diterima belajar di USM,” kata Azman yang kini bertugas sebagai Penolong Eksekutif di Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM).

IMG 3462 800x600

Azman yang berasal dari Kuala Lumpur pernah berkhidmat dalam bidang Pemantauan Kualiti atau Quality Control dalam pelbagai industri. Isterinya, Noraishah Ab. Rahim, 53, dan anak perempuannya berumur 23 tahun amat menyokong minat beliau untuk menyambung pengajian di usia begini.

IMG 3545 800x600

Azman dan Anthony adalah sebahagaian dariapada 999 orang pelajar baharu Rancangan Pengajian Jarak Jauh yang mendaftar di USM bagi empat kursus utama iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, Sastera, Sains dan Sains Kemasyarakatan.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1462

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024