AKSI DRAMATIK 100 MINIT BOLA SEPAK RAIH EMAS UNTUK USM
TANJUNG MALIM, 3 Ogos 2017 - Aksi dramatik perlawanan akhir bola sepak Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2017 berakhir dengan kegembiraan apabila skuad bola sepak Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya meraih emas untuk kontinjen.
Pada separuh masa pertama USM berjaya mendahului Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan satu jaringan oleh penjaring terbanyak SUKUM, Mohd Baser Napae.
Namun serangan balas oleh pihak lawan pada separuh masa kedua mengikat USM dengan seri 1-1 hingga tamat perlawanan.
Perlawanan akhir terpaksa diteruskan dengan masa tambahan selama 20 minit hinggalah pemain USM, Rohaizat Ali menjadi penyelamat kepada USM dengan berjaya menjaringkan gol di minit-minit terakhir perlawanan.
Aksi penuh debaran pada malam ini turut disaksikan oleh Ketua Kontinjen USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Zakaria serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan.
Sementara itu, Pengurus pasukan bola sepak USM, Profesor Dr. Abdul Razak Ibrahim menzahirkan rasa bersyukur atas kemenangan pasukannya pada malam ini.
"Ini merupakan hadiah kemenangan untuk semua para pemain atas usaha yang ditunjukkan oleh mereka tanpa mengenal erti putus asa walaupun pelbagai cabaran yang perlu dilalui sehingga ke peringkat akhir perlawanan," katanya.
Jelas Razak, jurulatih juga turut memainkan peranan yang penting dalam mengatur strategi perlawanan memandangkan lawan mereka pada malam ini juga merupakan pasukan yang kuat.
"Malam ini rezeki berpihak kepada USM walaupun persaingan sengit yang diberikan oleh pihak lawan sehingga telah membawa ke masa tambahan selama 20 minit," tambahnya lagi.
USM menambah bilangan pingat emas yang ke-13 pada hari ke-enam kejohanan SUKUM 2017 menjadikan USM berada di tempat kedua di belakang Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 1264