USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JAMUAN RAYA USM ‘17: MAJLIS RUMAH TERBUKA SATU KEUNIKAN BUDAYA PENUH KEHARMONIAN

DSC 2287 800x600

Negara kita Malaysia amat dikenali di mata dunia bukan sahaja disebabkan oleh kepelbagaian flora dan faunanya tetapi juga masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana harmoni dan sejahtera.

Kepelbagaian ini seterusnya berfungsi sebagai penggalak dalam sambutan pelbagai perayaan yang bukan hanya diraikan secara khusus oleh kaum-kaum tersebut, malah disambut juga oleh pelbagai lapisan kaum di negara ini.

DSC 2326 800x600

Sambutan Majlis Jamuan Raya Universiti Sains Malaysia (USM) 2017 misalnya telah membuktikan keharmonian dapat dipupuk melalui perayaan.

Majlis yang diadakan di Permatang Pelajar berhampiran dengan Dewan Budaya USM telah menarik pelbagai lapisan masyarakat dari kalangan warga USM untuk hadir ke majlis tersebut.

DSC 2133 800x600

Jamuan yang berkonsepkan ‘pot luck’ itu berjaya memperlihatkan kerjasama semua jabatan dan pusat pengajian di seluruh USM kampus induk di samping menghimpunkan pelbagai juadah yang terkenal di Malaysia di bawah satu bumbung.

Dalam jamuan tersebut, turut diadakan pertandingan untuk gerai, dan Pejabat Pendaftar telah dinobatkan sebagai gerai yang paling popular manakala Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni pula terpilih sebagai gerai yang paling menarik.

Program jamuan yang dijalankan pada 19 Julai lalu telah bermula pada jam 12.00 tengah hari dan berakhir jam 2.30 petang.

Pro Canselor Tan Sri Datuk Mustafa Mansur; Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan isteri; Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan suami serta tetamu kenamaan dan pegawai utama universiti yang lain telah bersama hadir untuk memeriahkan acara.

DSC 2413 800x600

Photobooth yang berkonsepkan suasana hari raya di kampung halaman telah berjaya menjadi penarik kepada jamuan raya kali ini. Penggunaan props seperti basikal tua, kawah, bubu, congkak, pencakar rumput, tikar dan topi mengkuang dan pemarut kelapa tradisional telah menonjolkan lagi suasana photobooth tersebut yang ternyata menyerlahkan konsep berkongsi perayaan yang indah.

Photobooth tersebut telah mendapat sambutan yang hangat sebagai lokasi mengabadikan kenangan bagi para pengunjung yang hadir ke majlis tersebut.

Selain pengunjung tempatan, pengunjung luar negara yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar antarabangsa USM dalam pelbagai bidang pengajian juga turut hadir ke majlis jamuan ini.

Berdasarkan pemerhatian, mereka rata-ratanya kelihatan amat seronok dan teruja dengan penganjuran jamuan raya ini, selain tertarik melihat pakaian tradisional masyarakat Melayu sehinggakan ada yang ingin diminta untuk bergambar bersama mereka.

DSC 2168 800x600

DSC 2185 800x600

Penganjuran majlis rumah terbuka seperti ini dilihat dapat mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, di samping secara tidak langsung dapat memaparkan budaya bangsa Malaysia yang aman dan merdeka kepada masyarakat antarabangsa.

Oleh itu, penganjuran rumah terbuka sebegini seharusnya diteruskan saban tahun, sesuai dengan peranan USM sebagai sebuah institusi yang memperjuangkan konsep kelestarian masa hadapan, dalam mengekalkan semangat kesatuan dan harmoni di negara ini, di samping meningkatkan martabat dan tahap pencapaian pendidikan tinggi tempatan.

Teks: Mohd Musa Adivijaya (pelajar intern MPRC) & Mazlan Hanafi Basharudin

Suntingan: Tan Ewe Hoe  

  • Created on .
  • Hits: 1885

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024