USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

OLAHRAGA USM CAPAI SASARAN EMAS SUKUM

IMG 0745

TANJUNG MALIM, 30 Julai 2017 - Pasukan olahraga Universiti Sains Malaysia (USM) mencapai sasaran pungutan tujuh pingat emas seperti yang disasarkan dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) di sini hari ini.

Kejayaan tersebut menjadikan USM secara keseluruhan memungut tujuh emas, tujuh perak dan lapan gangsa ketika menutup saingan olahraga di Kompleks Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Atlet kategori veteran wanita, Dr. Choong Siew Yee muncul wirawati USM apabila menyumbang lima emas termasuk tiga acara individu dan dua berpasukan.

Emas diperoleh beliau melalui acara individu iaitu 200m, 400m dan 800m manakala tuaian emas berpasukan diperoleh menerusi acara 4x100m dan 4x400m.

Turut menjadi penyumbang dua pingat emas ialah A. Jegathesan yang mengungguli acara 1500m dan 800m.

Siew Yee ketika ditemui berkata, beliau berpuas hati dapat menepati sasaran menyapu bersih pingat emas dalam lima acara yang disertainya.

"Kejayaan ini bukan milik individu sebaliknya ia dibantu semangat juang rakan sepasukan, jurulatih dan penyokong-penyokong USM.

"Saya turut teruja kerana pasukan USM dapat meraih emas dalam kategori 4x100m yang memang menjadi saingan sengit setiap kali kejohanan," katanya yang turut menjadi penyandang emas dalam setiap kategori disertai.

Pengurus pasukan olahraga USM, Salasiah Zakaria turut menegaskan secara keseluruhan amat berpuas hati dengan prestasi dan semangat juang yang ditunjukkan para atlet.

Kejayaan itu ujarnya hasil latihan berterusan dan strategi yang dicaturkan jurulatih, selain komitmen tinggi para atlet dalam persediaan sebelum ke kejohanan.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1511

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024