PEJABAT PENDAFTAR USM TERIMA LAWATAN KERJA DAN PENANDAARASAN DARI KUIPs
PULAU PINANG, 20 Julai 2017 – Pejabat Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menerima lawatan kerja dan penandaarasan dari delegasi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) seramai 15 orang terdiri daripada staf pengurusan dan pentadbiran yang diketuai oleh Pendaftar, Rohana bt. Zainol.
Rohana berkata, tujuan utama mereka mengadakan lawatan kerja ini adalah untuk membolehkan pihak Pengurusan KUIPs mengetahui lebih lanjut tentang pelaksanaan Upacara Konvokesyen di USM, supaya dapat dijadikan contoh dan penanda aras bagi pelaksanaan istiadat konvokesyen pertama KUIPs yang akan berlangsung pada 23 Oktober 2017.
“Saya berharap kami semua yang hadir pada hari ini, yang juga ahli jawatankuasa kerja yang akan menggerakkan majlis konvokesyen KUIPs nanti, akan mendapat gambaran keseluruhan yang lebih jelas tentang persiapan yang terlibat untuk menjayakan konvokesyen,” katanya dalam sesi perjumpaan yang diatur oleh Pejabat Pendaftar di sini.
Pendaftar USM, Profesor Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin ketika mempengerusikan sesi perjumpaan dengan delegasi KUIPs itu, mengalu-alukan kehadiran delegasi KUIPs dan menghargai usaha mereka untuk melawat USM.
Beliau turut memberi taklimat tentang pelbagai jawatankuasa kerja yang terlibat dan bidang tugas masing-masing serta keunikan perjalanan upacara konvokesyen USM yang sejak dahulu lagi tidak menggunakan pengacara majlis dari awal hingga akhir tetapi hanya berpandukan Panduan Pentadbiran yang lengkap.
Pendaftar juga menambah bahawa, mulai tahun ini pihak Universiti memperkenalkan sistem Graduation-in-Council (GIC) yang mana pelajar yang berijazah boleh memohon untuk mendapatkan skrol dan transkrip mereka sebaik sahaja mendapat kelulusan Senat dan tidak perlu menunggu sehingga konvokesyen untuk menerima skrol mereka. Pelajar yang memilih kaedah ini tidak perlu menghadiri majlis konvokesyen yang ke-55 yang dijadualkan pada 28 Oktober hingga 2 November 2017.
Delegasi turut dibawa melawat Bilik Jubah Konvokesyen dan juga persekitaran Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM.
KUIPs ialah institusi pendidikan tinggi yang ditubuhkan pada 3 Mac 2013 di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan dinaungi oleh DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Canselor KUIPs.
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1071