PENGARAH CEMACS DAHULUI PENERIMA PINGAT DAN DARJAH KEBESARAN DARI USM
PULAU PINANG, 27 Julai 2017 - Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Profesor Dr. Aileen Tan Shau Hwai dikurniakan Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato' sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2017 sempena Hari Ulang Tahun Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-79.
Turut dikurniakan pingat yang sama ialah Mantan Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Dr. Lim Koon Ong. Darjah ini dikurniakan kepada individu-individu yang menyumbang perkhidmatan yang istimewa serta mempunyai kedudukan yang tinggi.
Sementara itu, penerima-penerima lain dari USM adalah Pengarah, Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Zulham Hamdan, Bintang Cemerlang Negeri (B.C.N.); Pengarah Penerbit Tuan Haji Akhiar Salleh, Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T.); Pengarah, Pusat Sejahtera Dr. Normala Abdul Wahid, Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T.); Timbalan Pendaftar Kanan USM Nazru Ismail, Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T.); Mantan Ketua Pustakawan USM Ali Abdul Rahim, Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T.); Ketua Penolong Pendaftar Pejabat Naib Canselor Mohd Rashid Abdul Rejab, Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.); Penolong Jurutera Jabatan Pembangunan Suhaimi Abu Bakar, Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M.) dan Pengawal Keselamatan Jabatan Keselamatan Ramachandran A/L Subramanian, Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M.).
Pada sambutan tahun ini, Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif mendahului senarai 1481 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri dan dikurniakan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran 'Datuk Seri Utama'.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri berlangsung di Dewan Sri Pinang Pulau Pinang.
- Created on .
- Hits: 3854