HAYATI KONSEP KAMI MEMIMPIN
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 April 2015 - Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) digesa menghayati moto Kami Memimpin dalam menghadapi cabaran masa hadapan melalui penghayatan 9 teras utama Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX).
Timbalan Pengarah Kanan Farmasi, Haji Zainol Abidin Hamid dalam ceramahnya dalam Program Apex Leadership Programme (ALP): Kepimpinan dalam Konteks USM ‘Kami Memimpin’ yang dianjurkan oleh Pusat Transformasi Insan (Pti), Kampus Kesihatan berkata, hal ini penting dihayati kerana pemimpin akan cuba mempengaruhi perlakuan pekerjanya bagi melaksanakan sesuatu tugas untuk mencapai matlamat kerja bagi unit dan organisasi.
"Oleh itu pemimpin perlu menanam semangat kegigihan, keazaman dan keyakinan pada diri setiap staf di bawah kelolaannnya dalam memajukan diri melaksanakan tugas dan berusaha mencapai matlamat organisasi," kata Zainol Abidin.
Program ini disertai oleh 85 orang staf dari pelbagai jawatan dan jabatan di USM, Kampus Kesihatan bertempat di Dewan Persidangan Kampus, Kampus Kesihatan.
Tambah Zainol Abidin lagi 9 teras APEX perlu difahami dan diterapkan meliputi keilmuan dalsm menerokai dan menguasai ilmu pengetahuan berasaskan pemikiran masa hadapan yang dapat memberi impak kepada masyarakat.
"Kita juga perlu menghayati prinsip Kelainan atau keunikan yang membezakan USM dan warganya daripada orang lain dalam membangunkan kekuatan dan impak masa hadapan untuk bersaing serta berfikir di luar kotak bagi merealisasikan Strategi Lautan Biru," katanya lagi. Nilai-nilai lain termasuklah Kesejagatan dalam menghormati nilai-nilai universal yang dikongsi bersama dengan pemikiran yang luas dan memahami budaya global serta bekerja bersama-sama dengan melibatkan semua warga universiti secara inklusif (terangkum) tanpa sempadan. "Kefahaman terhadap teras Kelestarian penting untuk merealisasikan usaha menjaga alam sekitar, malah memulihara tradisi dan kearifan tempatan yang terdapat dalam masyarakat," tambahnya lagi.
Jelasnya, pemahanan terhadap teras Kemanusiaan pula membolehkan seseorang itu mempunyai belas ihsan dengan berpegang kepada prinsip dan nilai hidup dalam menjaga alam, manusia dan masyarakat seluruhnya”, ujarnya.
Zainol Abidin turut meminta peserta untuk memahami dan menerapkan teras pengorbanan sebagai usaha untuk seseorang itu bersedia melakukan apa sahaja usaha yang berterusan dengan tulus ikhlas dalam menjayakan misi universiti yang dipegang bersama-sama demi mendapat keredaan Tuhan dan menjayakan amanah yang dipegang.
Semangat ini perlu datang dari hati atau qalbu dengan menghayati semangat Saya Sayang USM dan Memacu Kecemerlangan.
Jelasnya lagi, ini dilengkapkan dengan usaha melakukan perubahan kerana kejayaan universiti bergantung kepada perubahan yang dibuat dari dalam diri warganya yang membawa kepada perubahan dalam pemikiran serta tindakan-tindakan yang memberi impak besar kepada masyarakat dan dunia melalui ilmu pengetahuan dan semua teras yang dibangunkan bersama-sama.
"Matlamat utama dalam segala usaha yang dilakukan ialah bagi menzahirkan kesejahteraan mental dan fizikal kepada semua warga universiti untuk mengharumkan nama USM di seluruh dunia dengan menghasilkan pemikiran dan tindakan yang berterusan, maka seseorang pemimpin perlulah menjalankan tugas dengan sempurna serta hati bersih dan berIntegriti serta menekankan aspek kemanusiaan dalam pengurusan organisasi," kata Zainol Abidin. - Teks/Foto: Wan Salizawati Binti Wan Ismail & Anawiah Abdul Aziz/Suntingan: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1796