KONTINGEN USM YAKIN, BERSEMANGAT MENJUARAI SUKUM KE-42
USM, PULAU PINANG, 19 Julai 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) berazam meraih kemenangan sebagai juara di dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) ke-42 setelah menjadi naib juara pada SUKUM sebelum ini.
Sempena SUKUM yang akan berlangsung pada 28 Julai hingga 5 Ogos tahun ini, USM telah mengadakan upacara penyerahan bendera kepada setiap kontingen, semalam di kampus induk di sini.
Berikutan dengan itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan Ketua Kontingen SUKUM 2017, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Zakaria menyampaikan ucapan kata-kata semangat kepada kumpulan atlet dan staf yang akan bertanding.
“Masuklah gelanggang dengan semangat kesukanan dan semangat jangan kalah dengan menjulang nama USM, membuat pesaing rasa tergugat apabila anda semua turun padang,” kata Asma.
“Walaupun hari ini adalah hari terakhir kita berlatih, namun saya dapat lihat prestasi anda sekarang pada tahap yang terbaik. Yang paling penting adalah kita sudah bersedia untuk bersaing,” ujar Ahmad.
SUKUM tahun ini akan dilangsungkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim dengan sebanyak 21 acara sukan dipertandingkan. Antaranya boling, petanque, catur, memanah, golf, dart berpasukan terbuka, sepak takraw, kayak, perahu panjang dan berbasikal. Sebanyak 1,442 pingat bakal diraih oleh 20 buah universiti awam negara dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Mengikut Asma, perancangan awal adalah untuk USM bertanding hanya dalam 5 acara sukan, namun kali ini dengan penuh semangat dan keyakinan, USM akan bersaing dalam 16 acara sukan dengan harapan untuk muncul sebagai johan.
Turut hadir, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Tuan Hj. Muhammad Mohd Hanif; Timbalan-timbalan Naib Canselor, pegawai-pegawai dan para atlet USM.
Teks: Nur Fariha Mohd Fariz (Pelajar intern MPRC)
- Created on .
- Hits: 1202