STEM PENERAJU TRANSFORMASI EKONOMI NEGARA MASA HADAPAN
USM, PULAU PINANG, 16 Julai 2017 – Bagi merealisasikan transformasi ekonomi negara ke arah pencapaian status negara maju dan berpendapatan tinggi, anak-anak kita hendaklah memiliki keupayaan yang optimum dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Demikian jelas Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya mewakili Naib Canselor USM sempena majlis penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan National Science Challenge (NSC) 2017 peringkat negeri Pulau Pinang yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
“Malaysia memerlukan ramai tenaga mahir dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi, justeru ituadalah amat penting untuk menanam rasa ingin tahu dan kecemerlangan dalam bidang STEM terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah untuk menggalakkan minat saintifik dan mendorong mereka untuk mengambil sains sebagai pilihan kerjaya,” katanya.
“Menyedari hakikat bahawa pelajar sekolah yang mengikuti aliran sains masih rendah dan belum mencapai sasaran 60:40, maka universiti akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam menggalakkan staf akademiknya untuk melibatkan diri dalam aktiviti atau program yang mempromosi STEM dalam kalangan pelajar sekolah, kerana mereka ini akan menjadi ‘feeder’ kepada siswa yang akan mengikuti kursus sains dan teknologi di universiti kelak.”
Tambah Abdul Rahman, walaupun di USM tumpuan terus diberikan kepada subjek sains, namun pada masa yang sama ia menyedari pentingnya mengintegrasikan komponen seni/sastera (bukan sains) kepada sains.
“Kita ingin menghasilkan pelajar dan siswazah yang bukan sahaja berpengetahuan dengan set kemahiran yang tinggi tetapi juga memiliki watak dan nilai yang baik,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Ismail bin Mohd Said berkata, untuk memenuhi dasar 60:40 yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan, maka kerjasama dan sokongan dari ibu bapa, pengetua dan guru-guru, serta semua agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan sangat diperlukan supaya lebih ramai pelajar berminat untuk memilih aliran sains.
“Malah ibu bapa perlu merangsang dan menggalakkan anak meminati mata pelajaran matematik dan sains sejak di sekolah rendah lagi. Pengetua sekolah juga perlu memperbanyakkan aktiviti pendedahan yang boleh menarik minat pelajar dan memberi keyakinan bahawa mata pelajaran aliran sains adalah mudah dipelajari serta mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.
Tambah Ismail, peranan guru tidak kurang pentingnya dengan memperkenalkan kaedah pengajaran yang menarik minat pelajar dan menjadikan subjek itu menarik, praktikal dan tidak membebankan.
Lima buah sekolah menengah sekitar negeri Pulau Pinang telah bersaingan untuk merebut kejuaraan dalam pertandingan NSC kali ini iaitu SMJK Perempuan China Pulau Pinang, SMJK Chung Ling, SMK Bukit Jambul, SMKA (P) Al-Mashoor dan SMK Convent Lebuh Light.
SMJK Perempuan China Pulau Pinang muncul sebagai johan dan akan mewakili negeri Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan ialtu Grand Finals yang dijadualkan berlangsung pada 11-17 Ogos 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pemenang Grand Finals, seperti tahun-tahun sebelum ini, akan berpeluang mengikuti lawatan belajar ke Stockholm, Sweden dan menghadiri Majlis Penganugerahan Hadiah Nobel yang berprestij pada 10 Disember 2017.
Yang turut hadir ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia USM, Dr. Lee Hooi Ling selaku Pengerusi National Science Challenge 2017 Peringkat Negeri Pulau Pinang merangkap Timbalan Pengerusi Young Scientists Network, Akademi Sains Malaysia (ASM); ketua hakim Prof. Madya Dr. Lim Jit Kang, guru-guru pembimbing dan murid-murid sekolah.
National Science Challenge ialah pertandingan tahunan sains yang dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama Young Scientists Network – Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM), Kementerian Pendidikan Malaysia dan ExxonMobil Subsidiaries, melibatkan pelajar Tingkatan 4 dari sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia.
Teks: Mohd. Musa Adivijaya (pelajar intern MPRC) & Syuhada Abd. Aziz/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1227