USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR USM DIANUGERAH IJAZAH KEHORMAT DARI KEELE UNIVERSITY UK

 

IMG 4891

STAFFORDSHIRE, ENGLAND, 14 Julai 2017 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail telah terpilih untuk menerima Ijazah Kehormat dari Keele University UK dalam majlis konvokesyen universiti tersebut baru-baru ini.

Asma, penerima Ijazah Kehormat ‘Doctor of Science’, adalah di antara tujuh penerima lain yang telah terpilih sebagai calon ijazah kehormat universiti berkenaan berdasarkan kepada pengalaman luas dan sumbangan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing. Kesemua calon penerima telah mencipta kecemerlangan di dalam pelbagai bidang seperti sukan, perubatan, pendidikan, perniagaan dan filantropi.

Di dalam ucapan beliau, Asma menekankan betapa perlunya masyarakat untuk menyesuaikan diri mereka dengan kedatangan Revolusi Industri ke-Empat (4IR), selain dari mendepani pelbagai cabaran yang mendatang.

“Masyarakat perlu menerima perubahan ini di samping mengukuhkan nilai-nilai kemanusiaannya ke arah memperkasakan diri masing-masing di masa hadapan, supaya peranannya tidak diambilalih oleh robot dan automasi serta kemunculan pelbagai bentuk peralatan dan teknologi pintar yang lain," kata Asma.

IMG 4496

“Masyarakat perlu terus belajar, sama ada perkara baru atau secara bersama supaya tidak ‘diketepikan’ oleh teknologi pintar di masa hadapan. Teknologi tersebut berupaya berfungsi dalam membantu dan meningkatkan keupayaan setiap individu sekiranya dapat digunakan dengan bijaksana dan berkesan,” tambah beliau lagi.

Asma juga menyentuh tentang senario lain di masa hadapan, di antaranya berkaitan dengan bekalan sumber yang semakin berkurangan, bidang pendidikan, penjagaan kesihatan serta pengagihan pendapatan dalam kalangan golongan terpinggir dan tersisih.

Beliau menekankan keperluan bagi mereka yang mampu memperolehi pendidikan dan penggunaan teknologi untuk menyumbang semula kepada masyarakat, khususnya kepada golongan yang memerlukan. Ini akan membentuk nilai kemanusiaan sebenar, dalam menyumbang secara ‘dari hati’ (high touch) dan disertai dengan penyelesaian masalah melalui penggunaan teknologi terkini (high tech).

Sewaktu menyampaikan ijazah kehormat tersebut, Naib Canselor Keele University, Profesor Trevor McMillan turut berkata, “Kesemua penerima ijazah kehormat kali ini telah memberi sumbangan besar di dalam bidang masing-masing, sebagai ahli pemikir, pemimpin, dalam bidang kemanusiaan serta sukan. Kami amat berbangga kesemua mereka akan menjadi sebahagian dari ‘ahli keluarga’ Keele University.”

Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain  

  • Created on .
  • Hits: 1569

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024