PROGRAM TAUTAN KASIH RAMADHAN CERIAKAN PESAKIT DI HOSPITAL
USM, PULAU PINANG, 23 Jun 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan lagi program libatsama universiti-komuniti sebagai tanda prihatin terhadap masyarakat sekeliling dengan melawat pesakit-pesakit di Hospital Besar Pulau Pinang untuk menceriakan mereka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Program Tautan Kasih Ramadhan ini yang masuk tahun keenam penganjurannya, dianjurkan bersama oleh Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (PPDU), Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Pusat Pengajian Seni (PPS), Dewan Budaya dan Pusat Seni Reka Kreatif (CDH).
Menurut penyelaras program dari PPDU, Dr. Darshan Singh Mahinder Singh, program ini bertujuan meraikan aidilfitri bersama pesakit-pesakit terutamanya pesakit kanser kanak-kanak dan dewasa yang terpaksa berada di wad hospital semasa hari raya dan tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk meraikan bersama keluarga.
“Selain itu, ia juga mengumpulkan staf-staf USM dari pelbagai latar belakang, etnik dan agama dari beberapa pusat tanggungjawab (PTJ) untuk bersama-sama melibatkan diri dalam program libatsama komuniti seumpama ini yang mampu memberi impak besar kepada pesakit dan keluarga mereka.
“Saya berharap program sebegini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang, serta mendapat penyertaan daripada lebih banyak PTJ,” katanya.
Beliau juga berharap pihak universiti dapat mengenal pasti program pendidikan yang sesuai seperti ‘sekolah di hospital’ bagi membantu pesakit kanak-kanak mahupun remaja yang tidak dapat hadir di sekolah untuk mengikuti pelajaran seperti murid-murid biasa.
Semasa mengetuai rombongan USM melawat wad pediatrik, wad onkologi dan wad sakit puan, Dr. Darshan turut menyampaikan sumbangan duit raya sebanyak RM600 dan hadiah kepada pesakit di sana.
Pesakit dan juga kakitangan yang bertugas di wad turut dihiburkan dengan persembahan badut dan nyanyian lagu Raya oleh staf Pusat Pengajian Seni dan Dewan Budaya di bawah pimpinan pensyarah Pusat Pengajian Seni, Profesor Madya Dr. Razif Mohd.
“Kehadiran kami diharapkan sedikit sebanyak mampu meringankan kesakitan yang dialami oleh pesakit-pesakit ini, dan kami semua begitu gembira melihat keceriaan yang terpancar di wajah mereka,” kata Dr. Darshan.
Teks: Nur Fariha Mohd Fariz & Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi (Pelajar internship MPRC)
Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 2069