PROGRAM SINGGAH SAHUR BERSAMA KOMUNITI SANTUNI WARGA EMAS DAN PETUGAS PERAWATAN PESAKIT
KUBANG KERIAN, 11 Jun 2017 - Seramai 35 orang warga emas di Rumah Seri Kenangan diraikan dalam Program Singgah Sahur Bersama Komuniti yang dijayakan oleh Briged Sukarelawan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni.
Program tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein yang turut sama bersahur bersama warga emas di sini.
Adnan dalam ucapannya berkata, program ini adalah satu usaha murni para pelajar terutama dalam bulan Ramadhan dalam membantu insan yang memerlukan.
"Ia merupakan sebahagian daripada pembelajaran selain dapat membantu dalam pembangunan sahsiah dan jati diri para pelajar dalam memahami penderitaan dan keperluan orang lain," katanya.
Tambah Adnan, program seumpama ini diharap dapat menimbulkan keinsafan dan memberi iktibar yang berguna kepada pelajar untuk terus menjalankan tugas sukarelawan secara berterusan walaupun telah tamat pengajian.
Seramai 48 orang pelajar terdiri daripada ahli sukarelawan Silat Cekak, pelajar Kristian, pelajar Buddha dan pelajar Sikh terlibat dalam membungkus dan mengedarkan 300 bungkus juadah sahur.
Terdahulu sebelum itu, mereka mengagihkan juadah bersahur kepada petugas-petugas perawatan di wad-wad Hospital USM.
Turut hadir Pengarah Pusat Pembangunan Sahsiah Pelajar, Dr. Nazarudin Zainun; Timbalan Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Tn Hj Mohd Saad Hj Din; Pengarah Pusat Penginapan Perumahan Universiti, Hafiz Assad Zakaria dan pegawai-pegawai universiti.
Teks: Mohd Hafiz Yaacob/Foto: Mohd Ridzuwan Ramly
- Created on .
- Hits: 1722