PBT KAMPUS KEJURUTERAAN BANTU OKU
NIBONG TEBAL, 13 April 2015 - Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Kampus Kejuruteraan menganjurkan Malam Amal untuk membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berjaya mengumpulkan RM4,200 yang diserahkan kepada Persatuan Kebajikan OKU Pulau Pinang atau Penang Handicapped Welfare Association (PHWA).
Menurut Penasihat PBT, Profesor Madya Dr. Chong Kok Keong, Malam Amal tersebut menampilkan persembahan kebudayaan masyarakat Cina yang bukan sahaja menghiburkan sambil membuat kebajikan.
"Usaha ini boleh kita banggakan khususnya kepada pelajar USM kerana mereka mampu menganjurkan aktiviti bersifat kemasyarakatan yang turut melibatkan universiti lain dan masyarakat luar,” kata Chong.
Pengerusi PBT, Chew Tian Feng berkata acara tahunan ini telah mendapat sambutan dan sokongan yang begitu baik dengan kehadiran lebih 1,000 orang penonton dalam kalangan warga kampus dan masyarakat sekitar yang terpukau dengan persembahan Gendang 24 Musim serta persembahan Sichuan penukaran topeng yang begitu menarik dan unik.
“Kejayaan program ini adalah hasil sokongan dan bantuan yang begitu baik oleh para pelajar,” kata pelajar tahun dua, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM itu.
Menurut Chew lagi, yang lebih menarik pada malam itu adalah penyediaan backdrop bersaiz 10 x 9, hasil tulisan tangan yang dibuat sendiri oleh enam orang pelajar dengan mengambil masa selama tiga hari sahaja.
Pelbagai persembahan budaya masyarakat Cina telah dipersembahkan pada malam tersebut antaranya seni bela diri shaolin dan wushu, tarian tanglung, yoyo cina, orkestra cina dan tarian kipas, selain turut diselitkan dengan persembahan nyanyian serta tarian moden oleh pelajar sendiri.
Turut hadir membuat persembahan dan memeriahkan majlis adalah pelajar dari empat universiti awam lain iaitu Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Tun Hussein Onn. - Teks: Mohd Kamil Ashar/Foto: Shafizan Zookiffli
- Created on .
- Hits: 1412