51 SUKARELAWAN USM KE CAMERON HIGHLANDS
PULAU PINANG, 28 Oktober 2013 - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) turut menzahirkan rasa dukacita dengan tragedi limpahan air dari Empangan Sultan Abu Bakar di Ringlet yang membawa banjir lumpur Lembah Bertam Cameron Highlands dengan menghantar 51 orang sukarelawan untuk membantu membersihkan kawasan yang terlibat.
Mereka yang terdiri daripada 5 orang staf dan 45 orang pelajar termasuk seorang pelajar Sains Kajihayat dari Nigeria bertolak jam 5.00 pagi ini dan berada di sana sepanjang hari untuk operasi mencuci rumah dan kawasan.
Menurut Ketua Sukarelawan USM, Zulkifli Che’ Hussein, mereka tiba jam 10.30 pagi dan terus memulakan kerja pembersihan rumah dan kawasan yang terlibat dengan banjir.
“Semua ahli pasukan begitu bersemangat walau pun ada yang terkena paku dan keadaan agak sukar,” kata Zulkifli yang juga merupakan Ketua Unit Kebudayaan dan Kesukarelawanan Bahagian hal-Ehwal Pelajar USM.
Tambah Zulkifli lagi, sebelum ini, pasukan sukarekawan USM turut terlibat membantu masyarakat yang menghadapi kesusahan akibat bencana alam di samping menolong mereka yang memerlukan bantuan.
“Malah, ketika umat Islam merayakan Aidil Adha, pasukan sukarelawan turun membantu mangsa-mangsa banjir di Balik Pulau Pulau Pinang baru-baru ini,” tambahnya lagi. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto sumbangan: Zulkifli Che’ Hussein.
- Created on .
- Hits: 1412