USM TERIMA DANA BANGUN PENYELIDIKAN AIR BAWAH TANAH KAMPUNG SG. CAWANG
IPOH, 2 Jun 2017 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus diberi kepercayaan memperkasakan program komuniti apabila menerima sumbangan dana daripada Lembaga Air Perak (LAP) Malaysia bagi membangunkan penyelidikan sumber air bawah tanah untuk penduduk pedalaman Kampung Sg. Cawang, Teluk Intan, Perak.
Sumbangan dana bernilai RM40,000 oleh LAP ini disampaikan sendiri oleh Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Dato’ Ir. Mohd Yusof Mohd Isa kepada penyelidik-penyelidik USM yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Mohd Nordin Adlan bersama Prof. Dr. Hamidi Abdul Aziz dan Prof. Madya Dr. Mohd Suffian Yusoff dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, USM.
Pada majlis penyerahan dana tersebut, Dato’ Ir Mohd Yusof Mohd Isa berharap dengan sumbangan ini USM dapat menyediakan platform penyelidikan yang khusus bagi membekalkan air bersih untuk kira-kira 100 orang penduduk pedalaman Kampung Sg. Cawang.
Tambahnya, pada masa ini LAP sedang berusaha untuk mencari sumber alternatif yang boleh dibangunkan dan dibekalkan sumber air bersih kepada penduduk setempat dengan cara lebih ekonomi dan sistematik.
“Saya mengharapkan USM dapat membantu perkara ini kerana kawasan tersebut terletak 19 kilometer dari paip utama LAP dan tiada cara melainkan mencari sumber air alternatif demi kemudahan air bersih untuk penduduk tersebut.”
Pada majlis yang sama, Mohd Nordin berkata sehingga kini, penduduk hanya bergantung hidup kepada air sungai untuk keperluan asas manakala untuk kegunaan makanan dan minuman, sumber air diambil dari telaga berdekatan sekolah yang sentiasa dipantau kebersihannya.
"Masalah yang dihadapi itu membuatkan saya dan barisan penyelidik Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam tergerak untuk membangunkan penyelidikan bagi meneruskan usaha meningkatkan kualiti air bersih di perkampungan tersebut," katanya.
Katanya lagi, jasa baik Lembaga Air Perak yang bersedia menghulurkan sejumlah dana bagi tujuan tersebut dapat melancarkan penyelidikan ini ke arah yang lebih baik dan sistematik.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1411