PENGURUSAN TERTINGGI SOKONG KEMPEN ‘BERMULANYA DI SINI AKU BERHENTI…’
USM, PULAU PINANG, 31 Mei 2017 – Tarikh 31 Mei pada setiap tahun, seluruh dunia meraikan World No Tobacco Day atau Hari Tanpa Tembakau Sedunia dan pada tahun ini, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Sejahtera dengan kerjasama Pusat Racun Negara dan Pusat Islam menyambutnya dengan melancarkan kempen ‘Bermulanya di Sini Aku Berhenti…’.
Kempen ini adalah bagi menggalakkan perokok di dalam USM untuk mengambil peluang dalam bulan Ramadhan yang mulia ini sebagai titik permulaan untuk berhenti merokok.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan seluruh Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) telah menyatakan sokongan kepada kempen ini dan berharap lebih ramai perokok akan mula memikirkan kesan serta meninggalkan tabiat yang tidak sihat ini.
Kempen ini berlangsung di sekitar Kampus Induk USM dan kesemua kampus cawangan sepanjang bulan Ramadhan bermula 26 Mei 2017.
Sebagai tanda sokongan terhadap kempen ini, warga USM boleh menyatakan hasrat dan sokongan dengan menulis nota atau komen di arca yang disediakan.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan perokok berusia 18 tahun ke atas telah meningkat pada kadar yang membimbangkan iaitu 5 juta orang pada tahun 2015 dengan peningkatan sebanyak 0.3 juta perokok dalam masa 5 tahun.
Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1379