USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRETTY BOY JADIKAN DRAMA KOREA POPULAR DI MALAYSIA

 

WhatsApp-Image-2017-05-22-at-11.17.18-AM.gif

USM, PULAU PINANG, 19 Mei 2017 – Drama korea menjadi begitu sinonim dalam kalangan penonton di negara ini khususnya kaum wanita dan antara faktor utamanya adalah kerana faktor pelakon lelaki yang ditampilkan adalah tampan atau dalam istilah lebih tepat, pretty boy.

Itu adalah antara penemuan utama yang didokumenkan dalam tesis pelajar ijazah doktor falsafah (Ph.D) dari Pusat Pengajian Komunikasi, Soh Weng Khai yang menjuarai 3 Minutes Thesis (3MT) Competition 2017 bagi kategori Sains Sosial yang diadakan di USM baru-baru ini.

Kemenangan itu menjadikannya antara yang terbilang dalam kalangan 56 peserta dari lebih 20 institusi pengajian tinggi dalam negara.

Kejayaan Weng Khai diperoleh melalui keberkesanan komunikasi ketika membentangkan tesis bertajuk 'The perception of metrosexual masculinity in popular Korean dramas in Malaysia.'

Menerusi hasil soal selidiknya bersama koresponden kajian, ternyata persepsi pretty boy membawa satu gambaran bahawa rakyat di negara ini melihat mereka hanya sebagai pelakon berwajah tampan, bukan ada unsur metrosexual yang disifatkannya mempunyai gambaran lebih meluas dengan wujudnya elemen seksualiti di dalamnya.

Dalam pertandingan itu juga, Natalie Vanessa Boyou dari Universiti Malaya dan Ashwin Charles Benedict dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjadi peserta terbaik dalam kalangan terbaik dan membawa pulang hadiah utama  €1,000 tajaan Springer Nature, sijil penghargaan dan cenderahati.

Kedua-dua mereka turut berpeluang mewakili Malaysia ke Asia-Pacific 3MT 2017 di Brisbane, Australia pada penghujung September tahun ini.

Dalam pada itu, umum mengetahui proses menyiapkan tesis bukanlah satu usaha yang mudah dan ada di antara calon Ph.D mengambil masa bertahun-tahun untuk menyiapkan tesis kajian mereka.

Namun, yang menjadikan para peserta ini hebat, mereka berupaya membentangkan tesis dalam masa hanya tiga minit, bererti mereka melakukannya dengan merumuskan tesis secara ringkas dan padat, tepat serta yang penting difahami oleh masyarakat umum.

Ketiga-tiga juara memberi tips kepada audien khususnya kepada yang berminat menyertai pertandingan seumpama itu di masa hadapan, antaranya:

1. Letakkan diri anda dalam situasi audien (Put yourself in the audien's shoes) – Tidak semua orang faham dengan topik kajian yang kita jalankan atas pelbagai faktor dan paling utama mereka bukan mahir dalam bidang yang kita ceburi, jadi cari ayat yang mudah difahami oleh umum. Dalam bahasa mudahnya, gunakan layman's terms.

2. Pupuk minat audien melalui gaya persembahan – 3MT berkait langsung dengan aspek komunikasi berkesan. Justeru, persembahan mesti ringkas, padat dan menghiburkan. Paling penting cari maklumat utama atau mesej yang boleh dibawa pulang oleh audien dalam tempoh berharga tiga minit tersebut.

3. Jangan gentar, relaks dan anggap sedang berbual dengan keluarga – Meringkaskan hasil kerja bertahun-tahun dalam tempoh tiga minit adalah satu usaha yang sukar, mudahkannya dengan perbanyakkan latihan dan anggaplah persembahan tersebut adalah perbualan kita bersama ahli keluarga. Ia pasti membantu.

 Three-Minute_Thesis_small.jpg

 

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 9303

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024