FATIN RANGKUL ANUGERAH OLAHRAGAWATI MASUM 2016, ULANGI PENCAPAIAN TAHUN LALU
KOTA SAMARAHAN, SARAWAK, 20 Mei 2017 - Fatin Nurfatehah Mat Salleh, 26, mengulangi pencapaian cemerlangnya pada tahun lalu apabila menerima Anugerah Olahragawati Majlis Sukan Malaysia (MASUM) tahun 2016 menjadikan beliau menerimanya buat 2 tahun berturut-turut dalam satu majlis yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.
Fatin yang merupakan penuntut Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah banyak mengharumkan nama negara dalam sukan memanah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 2016 yang melayakkan beliau sebagai calon pilihan yang berpotensi untuk memenangi anugerah olahragawati ini.
Hadir menerima trofi, sijil dan wang tunai RM3,000 bagi Anugerah ini ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein.
Sepanjang penglibatannya, Fatin telah memenangi beberapa kejohanan dunia iaitu Compound Wanita di Kejohanan Memanah Universiti Asia (1 emas), Kejohanan Memanah Piala Dunia 2015 (1 emas berpasukan), Kejohanan Memanah Piala Asia 2015 (1 perak berpasukan dan 1 gangsa individu), Kejohanan Memanah ASEAN 2015 (1 gangsa berpasukan), dan Sukan SEA ke-28 Singapura (3 emas untuk individu, berpasukan dan campuran).
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1396