PAKEJ ARKEOPELANCONGAN DIBUKA UNTUK ORANG RAMAI
USM, PULAU PINANG, 4 Mei 2017 – Pakej arkeopelancongan yang ditawarkan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) telah dibuka secara rasmi untuk kunjungan orang ramai bermula 1 Mei 2017.
Pakej arkeopelancongan yang dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah pada Mac lalu sempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 PPAG, menawarkan tiga pakej iaitu lawatan ke laman arkeologi USM, lawatan ke dua tapak arkeologi terkenal di Lembah Lenggong, Perak dan Kompleks Sungai Batu, Kedah.
Bayaran masuk untuk ketiga-tiga pakej tersebut berpatutan dan berbeza mengikut peringkat umur seperti orang dewasa, kanak-kanak dan warga emas. Harga untuk pelancong luar negara dan orang tempatan juga berbeza.
Pengarah PPAG USM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Mokhtar Saidin menyeru orang ramai dan warga Pulau Pinang khususnya untuk menikmati pakej arkeopelancongan berkenaan.
“Lebih membanggakan ialah USM menjadi universiti pertama di Malaysia yang menawarkan pakej arkeopelancongan seumpama ini kepada orang ramai,” kata Mokhtar.
Bercakap mengenai penemuan rangka manusia di Guar Kepah baru-baru ini, beliau akan meneruskan penyelidikan untuk melengkapkan data kerana penemuan ini telah menyumbang kepada data prasejarah negara dan rantau khasnya zaman Neolitik.
“Saya telah mula membuat kajian di Guar Kepah pada tahun 2010 tetapi tidak menemui rangka yang lengkap. Namun, saya tetap meneruskan usaha kerana tapak tersebut sangat penting. Pada masa yang sama, saya mengesyorkan kerajaan negeri untuk membina galeri di Guar Kepah kerana artifak yang sedia ada boleh dipamerkan di sana.
“Hasil daripada aktiviti pembinaan galeri itu yang menyebabkan kami menemui rangka manusia yang dipercayai berusia sekitar 5,000 tahun dahulu.
“Perkaitan secara langsung antara penemuan rangka di Guar Kepah dengan Lembah Bujang, Kerajaan Kedah Tua dan Gunung Jerai tidak pasti lagi tetapi berkemungkinan kumpulan yang berada di Guar Kepah itu apabila mencapai tahap teknologi yang tinggi iaitu boleh melebur besi, telah berhijrah dan memulakan petempatan di Sungai Batu,” jelas Mokhtar.
Tambah beliau, data yang diperoleh hasil daripada penyelidikan yang dijalankan dapat membina jati diri seseorang individu apabila mengetahui secara lebih dekat mengenai sejarah, selain membantu memajukan sektor ekonomi negara melalui aktiviti arkeopelancongan.
Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)
- Created on .
- Hits: 1824