USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MALAYSIAN BRAIN BEE CHALLENGE TARIK MINAT PELAJAR DALAMI BIDANG NEUROSAINS

untitledfgfdg

KUBANG KERIAN, 3 Mei 2017 – Malaysian Brain Bee Challenge (MBBC) 2017 melabuhkan tirai apabila tamat pusingan akhir yang diadakan di Dewan Kuliah 4, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan hari ini.

Program yang mendapat kerjasama Persatuan Jaringan Neurosains Kelantan (SfN) dan Persatuan Neurosains Malaysia berlangsung selama dua hari bermula 2 Mei 2017.

Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains PPSP merangkap Ketua Projek MBBC iaitu Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha berkata, tujuan MBBC diwujudkan adalah untuk menyemai kesedaran berkaitan bidang ilmu neurosains dalam kalangan generasi muda di peringkat sekolah menengah.

untitledvghgxf

Pusingan akhir ini menyaksikan seramai 27 peserta teratas daripada 23 buah sekolah  menengah seluruh negara berentap di peringkat akhir setelah mendahului lebih 1,400 pelajar pada peringkat akhir zon masing-masing.

Pada tahun ini, peserta daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur, Elwin Raj muncul sebagai pemenang tempat pertama dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300 serta sijil penyertaan.

Apa yang lebih membanggakan, beliau turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Al-Biruni yang diperkenalkan pada tahun 2014 sempena memperingati salah seorang tokoh ilmuan Islam, saintis serta ahli falsafah iaitu Abu al-Rayhan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni.

Tempat kedua disandang oleh peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara, Kang Sher Wen dan tempat ketiga dimenangi oleh peserta dari St. Joseph Private Secondary School, Marcus Ho Hao Xiang. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sumbangan Persatuan Neurosains Malaysia serta sijil penyertaan.

untitledghjf

Pemenang Brain Bee Challenge 2017 akan mewakili Malaysia ke Pertandingan International BrainBee Championship (IBB) di Washington DC, Amerika Syarikat pada 3-6 Ogos 2017.

Hadiah disampaikan oleh Profesor Dr. Dinsuhaimi Sidek mewakili Pengarah Kampus. Turut hadir Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains (P3Neuro), Profesor Dato' Dr. Jafri Malin Abdullah.

Teks & Foto: Muhd Zulkifli Zakaria & Farahziana Afzainizan (Pelajar Internship UiTM)

  • Created on .
  • Hits: 1827

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024