MINGGU KERJAYA@PPIK BANTU PELAJAR JADI GRADUAN YANG DIINGINKAN INDUSTRI
USM, PULAU PINANG, 4 Mei 2017 - Menyedari pentingnya menghasilkan graduan yang diinginkan industri, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Ilmu Kemanusiaan telah mengadakan program Minggu Kerjaya@PPIK pada 2 hingga 5 Mei di Foyer C24, PPIK.
Menurut Dekan PPIK, Profesor Dr. Narimah Samat ketika merasmikan program hari ini berkata, program ini dapat mendedahkan pelajar khususnya pelajar tahun akhir kepada dunia sebenar pekerjaan serta cara mengasah kemahiran insaniah (soft skills) dalam diri mereka.
"Dalam era masa ini, saingan untuk mendapatkan pekerjaan sangat susah memandangkan bilangan pelajar yang memiliki ijazah pertama sangat ramai. Oleh itu, penganjuran program ini mampu memberikan pengetahuan dan melatih pelajar supaya menjadi individu yang diinginkan industri," jelas Narimah.
Jelasnya, melalui perkongsian tips dan aktiviti sepanjang program, ianya dapat membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk memperoleh pekerjaan setelah tamat belajar kelak.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang minggu kerjaya ini ialah ceramah-ceramah dari pensyarah dan alumni USM dan universiti luar serta panel-panel dari industri, latihan temuduga, semakan CV, sesi kaunseling serta pameran.
Perasmian ini turut dihadiri oleh Timbalan Dekan (Akademik, Pelajar dan Alumni) PPIK USM, Profesor Madya Dr. Hasuria Che Omar, staf dan pelajar dari PPIK.
Teks: Rodiah Binti Md Daud (Pelajar Internship PP Komunikasi)
- Created on .
- Hits: 1496