BERHIBUR SAMBIL BERAMAL
USM, PULAU PINANG, 2 Mei 2017 - Malam Anekaragam anjuran Persatuan Kebudayaan India (PKI) Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan baru-baru ini dengan penuh meriah adalah untuk mengumpul dana bagi membantu golongan pelajar yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang mampu.
Demikian ujar Pengarah Projek merangkap Yang diPertua PKI, Vishnu Varthan Krishnaraw dalam ucapan aluannya di acara ini.
“Malam Anekaragam adalah program paling besar PKI setiap tahun dan ia bermula dengan idea bahawa masyarakat kecil seperti kami ini boleh memberi impak kepada masyarakat India di USM khususnya,” ujar Vishnu.
“Malam Anekaragam adalah konsert amal dan kami menganggap penglibatan kami ini adalah kerja amal yang merupakan budaya India dan aktiviti tradisi setiap tahun,” tegas Vishnu.
“Fokus tahun ini adalah untuk membantu pelajar USM khususnya mereka yang berasal dari keluarga miskin dan kami di barisan tertinggi PKI telah membuat kaji selidik mengenai status kewangan siswa-siswi India di Kampus Induk USM,” kata Vishnu lagi.
“Dianggarkan 60% daripada pelajar India USM bergantung kepada Wang Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyara hidup mereka di universiti dan buat masa sekarang mereka banyak bergantung kepada wang tambahan yang diperoleh daripada PTPTN,” kata Vishnu semasa sambutan Tahun Jubli Perak Malam Anekaragam yang telah mencapai usia 25 tahun pada tahun ini.
Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)
- Created on .
- Hits: 1275