MALAM ANEKARAGAM DISAMBUT MERIAH
USM, PULAU PINANG, 2 Mei 2017 - Malam Anekaragam yang ke-25 anjuran Persatuan Kebudayaan India (PKI) Universiti Sains Malaysia (USM) disambut dengan meriah sekali di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) baru-baru ini.
“Program sebegini dapat membina semangat kesatuan dan mengutuhkan hubungan antara ahli-ahli PKI 2016/2017 serta mewujudkan platform bagi menyerlahkan bakat siswa-siswi di khalayak ramai,” kata Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM, Dr. Nazaruddin Zainun ketika berucap merasmikan acara ini.
Tambah Nazaruddin, Malam Anekaragam 2017 merupakan satu program yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu pelajar yang menghadapi kesempitan wang khususnya.
“Program ini juga diharap membolehkan ahli-ahli persatuan memperoleh kemahiran insaniah serta bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menganjur lebih banyak program yang memberi kebaikan kepada pelajar USM,” kata Nazaruddin.
Harapan Nazaruddin supaya niat yang baik ahli PKI serta pihak yang terlibat kali ini dapat disambung pada tahun hadapan.
Turut hadir ialah Pengerusi Malaysia India Artist Association, Vijayan Palaniappan; Ahli Ekonomi dan Penasihat Arokya Groups of Company Health and Herbs Marketing, Dr. Nakkeran Nandan; Pengasas Arokya Groups of Company Health and Herbs Marketing, Ganesh Veeraya; Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Sejagat Pulau Pinang, Pirakash A/L Marimuthu; Penasihat PKI, Dr. Selvakumar Manikam; serta Yang diPertua PKI dan Pengarah Projek Malam Anekaragam 2017, Vishnu Varthan Krishnaraw.
Teks: Ruziatun Amirah Ismail (Pelajar Internship PP Komunikasi USM)
- Created on .
- Hits: 1589