WATER WARRIOR - USAHA PERKASAKAN SUKARELAWAN KAMPUS SEJAHTERA
PULAU PINANG, 11 April 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengupayakan pelajar melalui kegiatan sukarela yang dirancang dan dilaksanakan mereka tanpa campur tangan universiti.Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, kejayaan Sukarelawan Kampus Sejahtera yang begitu komited memacu usaha kelestarian kampus demi kesejahteraan bersama warganya melalui program "Water Warrior" di sekitar kawasan USM, di sini hari ini adalah bukti nyata.
Program yang melibatkan seramai 40 orang sukarelawan kampus sejahtera ini bertujuan mengenalpasti kerosakan peralatan tandas dalam kampus yang menyebabkan pembaziran air dan punca terjadinya pembiakan nyamuk aedes.
"Mereka melakukan audit tandas di kawasan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Foyer Dewan Kuliah G, Dewan Kuliah STUV serta di tapak konvokesyen untuk menilai keadaan tandas dengan menggunakan borang survey yang disediakan," jelas Naib Canselor.
Setiap sukarelawan menilai keadaan tandas melalui borang survey yang dibekalkan berdasarkan beberapa kriteria yang disenaraikan mengambilkira kerosakan tandas meliputi kerosakan alat pam air, lampu, getah paip, pintu, cermin, kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), keadaan penyediaan tong sampah dan papan tanda larangan merokok.
"Audit ini akan diteruskan secara berkala dan berterusan yang pada akhirnya menyediakan laporan untuk dibincang bersama Universiti, khususnya Jabatan Pembangunan untuk tindakan yang selanjutnya," kata jurucakap sukarelawan Kampus Sejahtera, Qutnina binti Jaafar.
Katanya lagi, program "Talk Series" mengenai cakna kepada tandas dan kelestarian air juga akan diadakan dalam masa terdekat agar dapat memberi kesedaran kepada warga kampus tentang amalan kelestarian dalam kampus. - Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Ihsan dari Sekretariat dan Sukarelawan Kampus Sejahtera
- Created on .
- Hits: 1532