PERKEP DAN USM TINGKAT KESEDARAN KESIHATAN WANITA
KOTA BHARU, KELANTAN, 11 April 2015 - Menyedari pentingnya penjagaan kesihatan dalam kalangan wanita terutamanya menjayakan Hospital USM sebagai Hospital Rakan Bayi yang diiktiraf, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Hospital USM Kampus Kesihatan dengan kerjasama Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Kontigen Negeri Kelantan mengadakan ceramah kesihatan wanita sempena Sambutan Hari Polis ke-208.
Penolong Pengarah Kejururawatan Hospital USM Rusnah Yaso' berkata, ceramah kesihatan ini berfokuskan kepada isu-isu kesihatan wanita terutamanya kesedaran penyakit kanser payudara serta kepentingan penyusuan susu ibu.
"Kami ingin menyahut seruan bersama-sama turun padang mendekati masyarakat untuk memberikan kesedaran pentingnya penjagaan kesihatan apatah lagi penyakit kanser payu dara adalah penyebab utama kematian dalam kalangan wanita dengan memberi penerangan untuk pencegahan penyakit ini di peringkat awal," jelas Rusnah.
Turut diadakan ialah pameran kesihatan dan sesi kaunseling kesihatan kepada isteri anggota polis.Pengerusi PERKEP Kontinjen Negeri Kelantan Datin Hjh Anizah bt Musa yang mengalu-alulan usaha ini berkata, program ini amat baik kepada isteri-isteri anggota polis untuk memberi maklumat yang berguna mengenai kepentingan kesihatan.
Program ini disertai oleh kira-kira 100 orang isteri anggota polis yang menekankan juga kepada kepentingan penyusuan susu ibu sebagai pertahanan imunisasi kepada bayi. - Teks & Foto: Mohamad Iqmal Mathlan
- Created on .
- Hits: 1557